Zul Izmal Mohd Bakir, 45, bersama isteri Nur Hidayah Alias, 45, dan anak, Muhammad Dayan Muaz, 11, melihat sisa kebakaran rumah mereka di Perumahan Penjawat Awam Malaysia (PPAM) Selasih, Presint 17 pada 12 Mac 2024. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Mangsa kebakaran rumah dapat perhatian PM, hargai sumbangan

PUTRAJAYA, 12 MAC: Nasib sebuah keluarga yang kediaman mereka di Perumahan Penjawat Awam Malaysia (PPAM) Selasih, Presint 17, di sini terbabit dalam kebakaran Jumaat lalu mendapat perhatian Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Mangsa Zul Izmal Mohd Bakir, 45, yang merupakan kakitangan Bahagian Dasar Perancangan Strategik, Jabatan Penerangan hari ini menerima bantuan kewangan daripada Perdana Menteri melalui Setiausaha Politik beliau, Muhammad Kamil Abdul Munim menerusi Program Ziarah Kasih Madani.

Ketika ditemui Muhammad Kamil berkata bantuan berkenaan bagi meringankan beban yang ditanggung keluarga itu lebih-lebih lagi ia berlaku menjelang permulaan sesi persekolahan.

“Bantuan ini juga untuk menampung keperluan keluarga ini sementara menunggu siasatan lanjut,” katanya.

Sementara itu Zul Izmal berkata beliau sekeluarga hanya mampu berlapang dada dan bertabah dengan kejadian yang berlaku 9.30 pagi menyebabkan kemusnahan lebih 80 peratus unit kediamannya yang terletak di tingkat tiga bangunan itu.

“Kesemua persediaan terutamanya untuk persekolahan empat anak termasuk baju sekolah dan buku rosak,” katanya yang turut menzahirkan penghargaan atas perhatian dan bantuan daripada Perdana Menteri menerusi inisiatif program itu.

Bapa kepada lima anak itu berkata ketika kejadian hanya seorang anak buahnya berusia lingkungan 20-an berada di rumah dan tidak mengalami kecederaan.

Menurutnya ketika ini mereka sekeluarga menumpang di sebuah rumah transit yang disediakan Perbadanan Putrajaya.

– BERNAMA


Pengarang :