AGENDANASIONAL

Mayat bayi perempuan dijumpai dalam parit di Seri Iskandar

IPOH, 10 MAC: Mayat bayi perempuan yang baru lahir ditemukan dalam parit berdekatan tapak pembinaan Hospital Seri Iskandar di Seri Iskandar petang tadi.

Ketua Polis Daerah Perak Tengah Supt Hafezul Helmi Hamzah berkata mayat bayi yang cukup sifat itu dijumpai oleh orang awam sebelum memaklumkannya kepada polis pada 3.15 petang.

Beliau berkata mayat bayi malang yang telah dipotong tali pusat ditemukan dalam keadaan tidak berpakaian dan tenggelam di dalam parit.

“Hasil pemeriksaan awal secara fizikal terhadap mayat bayi itu mendapati tiada kesan kecederaan luar dan siasatan lanjut masih dijalankan mengikut Seksyen 318 Kanun Keseksaan.

“Mayat bayi itu dihantar ke Hospital Changkat Melintang (HCM) dan pakar perubatan forensik dari Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) akan melakukan bedah siasat esok bagi mengetahui punca kematian,” katanya dalam satu kenyataan di sini malam ini.

Menurutnya orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kes tersebut diminta menyalurkan maklumat kepada polis dengan menghubungi pegawai penyiasat Inspektor Mohamad Zulkarnain Jusoh di talian 013-9740294.

– BERNAMA


Pengarang :