Timbalan Datuk Bandar MBSJ Mohd Zulkurnain Che Ali membantu anak yatim dari Pusat Jagaan Baitul Hidayah, Puchong memakai songkok sempena program menyantuni anak yatim dan asnaf MBSJ di pusat beli-belah Mydin, USJ 1, Subang Jaya Foto MBSJ pada 21 Mac 2024. Foto MBSJ
BERITA UTAMAPBTSELANGOR

MBSJ ceriakan 60 anak yatim, asnaf beli kelengkapan raya

SHAH ALAM, 23 MAC: Seramai 60 anak yatim dan asnaf dari Pusat Jagaan Baitul Hidayah, Puchong diraikan Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) dengan pembelian kelengkapan Aidilfitri, semalam.

Bahagian komunikasi korporat, Jabatan Korporat dan Pengurusan Strategiknya memaklumkan golongan terbabit dibawa membeli keperluan menyambut Syawal di pusat beli-belah Mydin, USJ 1, Subang Jaya.

Pihak berkuasa tempatan itu berkata setiap mereka menerima RM250 bagi pembelian keperluan Aidilfitri dan duit raya RM50, selain produk barangan makanan sumbangan Mamee Double Decker (M) Sdn Bhd.

“Program ini merupakan inisiatif MBSJ dalam melaksanakan tanggungjawab mukmin ke atas golongan memerlukan khususnya bagi persediaan menyambut syawal yang bakal menjelang,” katanya dalam kenyataan.

MBSJ menambah program itu juga bagi merealisasi matlamat pembangunan mampan (SDG) iaitu SDG 1 (tiada kemiskinan), SDG 2 (kelaparan sifar) dan SDG 11 (bandar dan masyarakat mampan).

Program menyantuni anak yatim dan asnaf MBSJ dihadiri Datuk Bandarnya Dato’ Mohd Fauzi Mohd Yatim serta Pengarah Urusan Mydin Mohamed Holdings Bhd Datuk Wira Dr Ameer Ali Mydin.

 


Pengarang :