Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Raja Muda Selangor berkenan menghadiri Tazkirah dan Iftar Jamaei anjuran bersama Selangor Youth Community (SAY) dan Yayasan Raja Muda Selangor di Masjid Istana Diraja, Istana Alam Shah, Klang pada 22 Mac 2024. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Raja Muda berkenan sertai tazkirah, iftar jamaei di Masjid Istana Diraja

KLANG, 22 MAC: Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Raja Muda Selangor berkenan mencemar duli ke program Tazkirah dan Iftar Jamaei 2024 di Masjid Istana Diraja, Istana Alam Shah di sini, hari ini.

Program anjuran bersama Selangor Youth Community (SAY) dan Yayasan Raja Muda Selangor itu turut dihadiri kira-kira 250 wakil badan korporat, pihak berkuasa tempatan (PBT), penaja serta rakan kerjasama kedua-dua badan itu.

Pada program itu Tengku Amir Shah berkenan mendengar tazkirah bertajuk Humanity Over Religion, Or? (Kemanusiaan Berbanding Agama, Atau?) yang disampaikan penceramah Prof Madya Dato’ Dr Mohd Farid Ravi Abdullah.

Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Raja Muda Selangor berkenan menyampaikan cenderahati kepada penceramah Prof Madya Dato’ Dr Mohd Farid Ravi Abdullah sempena program Tazkirah dan Iftar Jamaei anjuran bersama Selangor Youth Community (SAY) dan Yayasan Raja Muda Selangor di Masjid Istana Diraja, Istana Alam Shah, Klang pada 22 Mac 2024. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

Tengku Amir kemudiannya berkenan mencemar duli ke Majlis Iftar Jamaei di Dewan Santapan dan menunaikan solat Maghrib, Isyak dan solat sunat tarawih berjemaah.

Sementara itu Eksekutif Kanan Khidmat Masyarakat SAY Mohamad Nor Imran Mat Shah berkata program itu bagi menghargai mereka yang pernah bekerjasama dengan kedua-dua entiti itu dalam melaksanakan pelbagai program.

“Selain perkongsian ilmu program ini juga sebagai penghargaan kepada tetamu serta rakan kerjasama yang tidak jemu membantu menjayakan pelbagai program termasuk aktiviti bersama komuniti yang dianjurkan SAY serta Yayasan Raja Muda Selangor,” katanya.


Pengarang :