BERITA UTAMAPENDAPATRENCANA

Malam ajaib lailatulqadar bukan dongeng, alam bersujud pada-Nya

Antara kisah yang kerap mengiringi perbualan masyarakat tentang lailatulqadar ialah tanda-tandanya yang aneh. Sebahagiannya ialah cerita tentang pokok dan bukit yang turut bersujud pada malam itu.

llmuwan nusantara, Abdul Malik Abdul Karim Amrullah atau lebih dikenali sebagai Hamka turut berkongsi dalam bukunya, Renungan Tasawuf tentang pengalamannya dihidangkan cerita sebegitu sewaktu beliau kecil.

“Berpuluh tahun telah berlalu, namun kerana cerita Engku Lebai entah yang mempersukar, kita tidak pernah mendapati malam lailatulqadar itu, tidak melihat langit terbuka, air berhenti mengalir dan kayu-kayuan sujud ke bumi, apatah lagi rumah.”

Demikian komen Hamka setelah dewasa. Namun, apakah cerita itu sepenuhnya salah ataupun sebenarnya kefahaman kita yang perlu dinilai kembali?

Sebelum menjawab pertanyaan itu, mari kita fahami terlebih dahulu mengapa cerita aneh tersebut timbul. Tidak lain dan tidak bukan, alasannya adalah kerana keagungan malam itu sendiri.

Keagungan lailatulqadar dibuktikan oleh al-Quran sendiri iaitu rujukan yang diimani dan diterima tanpa bahas oleh seluruh umat Islam. Terdapat surah khusus yang menyebut tentangnya iaitu surah al-Qadr.

Jika diamati, dua fokus utama dalam surah ini ialah keagungan al-Quran dan kemuliaan lailatulqadar. Sebab itu, ahli tafsir besar Indonesia Quraish Shihab menyebut kedua-duanya sebagai tema utama surah ini.

Ayat pertama sudah menyebut tentang “Kami menurunkannya pada malam al-Qadr.”

Kata “kami” (inna) digunakan kerana menggambarkan keagungan Tuhan Yang Menurunkannya, sementara kata al-Quran pula memadai disebut dengan “nya” (hu) iaitu kata ganti diri ketiga.

Antara sebabnya menurut Imam al-Razi adalah kerana al-Quran sudah terkenal hingga kalau disebut dengan kata ganti diri ketiga pun sudah cukup.

Ada pelbagai tafsiran ulama tentang makna lailatulqadar atau malam al-Qadr. Antaranya ialah malam keagungan kerana itu saat al-Quran yang agung pertama kali diturunkan ke dunia kepada Nabi agung SAW.

Atau dalam bahasa Allama Muhammad Diraz dalam bukunya tentang puasa, itu malam yang mulia yang diturunkan padanya kitab yang mulia kepada umat yang mulia.

Ada ulama yang berpandangan kerana pada malam itu ditentukan takdir bagi tahun seterusnya. Jadi, malam al-Qadar juga bermaksud malam penentuan takdir.

Malam yang sempit

Ada juga yang berkata malam al-Qadr bermaksud malam yang sempit kerana banyak malaikat turun ke bumi pada malam tersebut sebagaimana terdapat dalam ayat keempat surah itu.

Ketiga-tiga pandangan ini boleh didapati dalam banyak tafsiran ulama klasik mahupun kontemporari. Sheikh Fadl Hasan ‘Abbas menyebut ketiga-tiganya dalam tafsir beliau.

Keagungan lailatulqadar tidak hanya terdapat dalam surah al-Qadr, malah juga dalam beberapa surah lain. Antaranya ialah al-Baqarah ayat 185 yang menyebut Ramadan diturunkan al-Quran.

Tiga fungsi utama al-Quran juga dijelaskan dalam ayat itu iaitu menjadi petunjuk kepada manusia, menerangkan petunjuk dan menjelaskan antara yang benar dan salah.

Dalam al-Dukhan ayat 3 pula dinyatakan malam tersebut adalah malam yang diberkati (laylat mubarakah). Dalam surah al-Qadr, disebut keberkatannya dengan ungkapan “lebih baik daripada seribu bulan.”

Demikianlah ternyata keagungan lailatulqadar daripada hujah-hujah al-Quran sendiri. Maksudnya, keagungannya merangkumi pelbagai sudut termasuk keberkatan malam dan kedatangan malaikat memenuhi bumi.

Lebih utama, keagungannya adalah kerana malam itu diturunkan al-Quran. Agung kerana misi al-Quran sendiri agung. Al-Quran mengajarkan jalan hidup sebagai manusia terhormat yang menjaga hubungan dengan Allah, menjaga hak manusia dan alam sekitar.

Al-Quran mengajarkan pelbagai akhlak dan nilai hingga sesiapa yang mengikutinya akan menjadi manusia budiman. Nabi Muhammad SAW laksana al-Quran bergerak yang membawa misi perubahan kepada kemanusiaan sejagat.

Malam itu adalah malam pengubah kenyataan sejarah.

Itu nikmat besar, maka kita diajar mensyukurinya dengan beribadat dan berdoa kepada Allah. Dalam hadis yang diriwayatkan al-Bukhari, baginda berpesan agar mencarinya pada malam-malam ganjil.

Kembali kepada pertanyaan mengenai cerita ajaib di awal makalah ini, sejauh mana kebenarannya?

Hakikat ketundukan seluruh alam kepada Allah tuhan sekalian alam ada disebut dalam beberapa ayat, antaranya al-Haj ayat 18 yang menyebut sujudnya segala yang ada di langit dan di bumi kepada-Nya.

Hamka berkata, kalau ketika masih muda mungkin kita akan menganggap cerita sebegitu sebagai dongeng sahaja. Tapi setelah didalami ayat al-Quran seperti al-Haj ayat 18 itu, maka beliau berkata itu benar-benar terjadi.

Syaratnya kita tidak melihat cerita ajaib itu dengan mata fizikal yang terbatas fungsinya. Sebabnya “saudara memakai mata alat pelihat benda yang sangat terbatas ini untuk melihat alam rohaniah yang begini luas, selamanya saudara akan gagal!”

Adapun jika mata batin atau mata rohani seseorang buta, maka dia tidak akan melihat semua itu. Andai mata rohani celik, barangkali dengan pejam mata pun kita boleh melihat sambil menyertai jagat bersujud kepada Allah.

 


Pengarang :