Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia Datuk Hamidin Mohd Amin. Foto BERNAMA
AGENDASUKANKINI

Hamidin sangkal dakwaan Pan Gon sedia tinggalkan Harimau Malaya

KUALA LUMPUR, 2 APRIL: Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) Datuk Hamidin Mohd Amin mengesahkan badan induk itu tidak menerima apa-apa surat daripada ketua jurulatih Harimau Malaya Kim Pan Gon yang dikhabarkan bersedia meninggalkan pasukan.

Hamidin berkata dakwaan itu sebagai cubaan mencipta polemik susulan kekalahan 0-2 berturut-turut Malaysia kepada Oman pada aksi Kumpulan D pusingan kedua Kelayakan Piala Dunia 2026/ Piala Asia 2027, bulan lepas.

“Berhubung isu ini, Pan Gon sendiri telah menafikan laporan berita yang memetik sumber menyatakan bahawa beliau telah menghantar surat kepada FAM dan bersedia untuk meninggalkan skuad Harimau Malaya,” katanya pada sidang media selepas Kongres Tahunan FAM ke-60 di Subang Jaya, semalam.

Baru-baru ini, arena bola sepak negara digemparkan dengan laporan berita bahawa Pan Gon dan barisan kejurulatihannya telah menghantar surat kepada FAM dan bersedia sekiranya terpaksa meninggalkan pasukan negara andai khidmat mereka tidak diperlukan lagi.

Namun, menerusi kenyataan di Facebook rasmi FAM pada hari yang sama, jurulatih dari Korea Selatan berusia 54 tahun itu menafikan laporan berita tersebut dan menyatakan komitmen beliau bersama pasukan sehingga kontraknya berakhir pada hujung 2025.

Pan Gon berkata misi utamanya adalah membawa Malaysia layak ke pusingan ketiga Kelayakan Piala Dunia 2026 dan mengesahkan tempat lebih awal ke Piala Asia 2027.

Sementara itu, Hamidin turut menafikan isu penolong jurulatih Pan Gon, Pau Marti Vicente telah meninggalkan pasukan selepas kelibatnya tidak kelihatan di bangku simpanan pada aksi menentang Oman di Stadium Nasional di Bukit Jalil pada 26 Mac lepas.

“Beliau sebenarnya telah dimasukkan ke hospital pada 23 Mac iaitu sehari selepas skuad kebangsaan pulang dari Muscat, Oman kerana telah mengalami masalah kesihatan.

“Beliau ditahan wad selama enam hari dan hanya dibenarkan pulang ke rumah pada 28 Mac lalu. Justeru, Pau Marti sah masih bersama skuad Harimau Malaya,” kata Hamidin.

– BERNAMA


Pengarang :