Delegasi Tourism Selangor diketuai EXCO Pelancongan Dato’ Ng Suee Lim (belakang, tengah) bersama operator produk pelancongan tempatan dalam misi pelaburan ke China pada 17 hingga 26 Mac 2024. Foto ihsan Tourism Selangor
AGENSIBERITA UTAMAEXCOSELANGOR

Teroka potensi pelancongan di China demi sasaran tujuh juta pengunjung

SHAH ALAM, 2 APRIL: Selangor meningkatkan misi jualan di China bagi mempromosi tarikan pelancongan negeri dan meneroka potensi pasaran untuk mencapai sasaran tujuh juta pengunjung menjelang 2025.

Menurut Tourism Selangor, misi diketuai EXCO Pelancongan Dato’ Ng Suee Lim dari 17 hingga 26 Mac menyasar bandar Dalian, Shenyang, Changchun dan Harbin, dengan gabungan populasi lebih 25 juta orang.

Jelasnya, acara yang menghimpunkan lebih 500 pembeli dan ejen pelancongan turut melibatkan Pertubuhan Jawatankuasa Pelancongan Dalian dan Biro Kebudayaan dan Pelancongan Perbandaran Xiamen.

“Kerjasama ini dijangka akan membuka peluang baru bagi aktiviti promosi termasuk Familiarisation Trip, pemasaran konten dan peluang perniagaan kepada sektor pelancongan tempatan.

“(Ia juga akan) mengukuhkan lagi kedudukan Selangor dalam pasaran China,” katanya dalam kenyataan, yang turut menyasar lebih banyak kemasukan penerbangan terus dari China.

Tambah agensi pelancongan negeri itu, lokasi yang diketengahkan dalam misi itu antaranya taman tema Sunway Lagoon, taman tema air SplashMania, FunPark @ Gamuda Luge Garden dan Sky Mirror.

Sementara itu, dalam kenyataan berasingan, Suee Lim berkata minat pelancong China terhadap Selangor bukti jelas daya tarikan negeri semakin meningkat selain memperkukuh hubungan sedia ada.

“Program ini bukan sahaja komitmen mengalu-alukan lebih ramai pelancong tetapi memaparkan Selangor sebagai destinasi pelancongan yang dinamik dan unik kepada pengunjung antarabangsa,” katanya.

Untuk rekod, seramai 352,001 pelancong China berkunjung ke Selangor tahun lalu, meningkat 73 peratus berbanding 2022.

Selangor menyasar tujuh juta pelancong tempatan dan luar negara sempena Tahun Melawat Selangor 2025 dengan tema ‘Nak Bercuti? Pusing Selangor Dulu!’ serta ‘Splendid Selangor, Take Me Anywhere!’


Pengarang :