Aksi pemain Selangor FC selepas mengalahkan Perak FC 4-0 pada perlawanan Liga Super 2023 di Stadium Perak, Ipoh, Perak pada 20 Mei 2023. Foto Facebook Selangor FC
AGENDASUKANKINI

Aksi sumbangsih Selangor FC, JDT di Johor kekal Jumaat ini

KUALA LUMPUR, 7 MEI: Perlawanan Sumbangsih musim 2024/2025 bagi merebut Piala Sultan Haji Ahmad Shah antara juara bertahan Liga Super Johor Darul Ta’zim (JDT) dan Selangor FC di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri di Johor kekal berlangsung Jumaat ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Liga Bolasepak Malaysia (MFL) Datuk Stuart Ramalingam berkata aksi pembuka tirai saingan Liga Malaysia (Liga-M) 2024/2025 itu tidak akan ditunda gara-gara insiden malang yang menimpa pemain sayap sensasi Selangor Mohamad Faisal Abdul Halim atau lebih dikenali sebagai Faisal Halim baru-baru ini.

“Setakat ini perlawanan (kekal) berlangsung hari Jumaat. MFL juga tidak menerima permintaan daripada pasukan untuk menunda perlawanan ini. Jika ada sebarang perkembangan terbaharu MFL akan maklumkan,” katanya ketika ditemui di Petaling Jaya baru-baru ini.

Sebelum ini timbul khabar angin perlawanan sumbangsih Jumaat ini akan ditunda selepas Faisal pada Ahad lalu cedera dipercayai disimbah asid dalam kejadian di sebuah pusat beli-belah dan disahkan mengalami kelecuran tahap empat, selain pergerakan dan percakapannya ketika ini turut terbatas berikutan insiden itu.

Ia merupakan kejadian malang kedua menimpa pemain skuad Harimau Malaya selepas Muhammad Akhyar Abdul Rashid apabila pemain pinjaman Terengganu FC itu cedera kepala dan kaki selepas diserang dua penyamun di kawasan kediamannya di Kuala Terengganu, Khamis lalu.

JDT mengintai untuk mempertahankan Piala Sultan Haji Ahmad Shah buat kali ketujuh berturut-turut sementara kali terakhir Selangor yang muncul naib juara Liga Super musim lalu, menjuarai perlawanan Sumbangsih adalah pada musim 2010.

Sementara itu, Stuart menepis segala spekulasi liar yang timbul susulan serangan jenayah terhadap dua pemain negara antaranya terdapat penglibatan sindiket mengatur perlawanan.

“Bookie antara khabar angin yang timbul tapi saya rasa itu tiada kaitan secara langsung. Liga-M adalah liga yang kita hormati dan semua termasuk pemain berusaha untuk memastikan integriti liga terjaga,” katanya sambil menambah insiden menimpa Mohamad Faisal tidak akan menjejaskan imej liga dan MFL.

Stuart berkata MFL juga akan memastikan tahap kawalan keselamatan sepanjang saingan Liga-M termasuk dari aspek penyokong dalam usaha mewujudkan suasana aman ketika perlawanan berlangsung.

– BERNAMA


Pengarang :