AGENDANASIONAL

Kes pemain bola disimbah asid, seorang lagi suspek ditahan

SHAH ALAM, 7 MEI: Polis menahan seorang lagi suspek semalam bagi membantu siasatan kes serangan asid ke atas pemain bola sepak negara Faisal Halim.

Ketua Polis Selangor Datuk Hussein Omar Khan menjelaskan lelaki tempatan berusia lewat 30-an itu ditahan di Bandar Baru Bangi, lewat petang semalam.

“Suspek akan direman pagi ini di Mahkamah Petaling Jaya,” katanya seperti dilaporkan Berita Harian.

Semalam, suspek pertama, seorang lelaki dalam lingkungan 20-an ditahan di Pandan Indah, Ampang setelah disyaki terbabit dalam kejadian serangan terbabit.

Suspek yang ditahan sepasukan polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya kemudian direman dua hari bermula semalam untuk membantu siasatan.

Kelmarin, Faisal yang juga bintang kelab bola sepak Selangor FC dikejarkan ke hospital berikutan kecederaan dialami akibat serangan asid di sebuah pusat beli-belah di Damansara.

Pemain itu dilaporkan mengalami cedera kebakaran tahap empat dan dikatakan berada dalam keadaan kritikal selepas menjalani pembedahan di sebuah hospital swasta.


Pengarang :