Landasan monorel dihempap pokok tumbang akibat hujan lebat dan angin kencang di Jalan Sultan Ismail pada 7 Mei 2024. Foto Facebook Angkatan Pertahanan Awam Malaysia – APM Daerah Kuala Lumpur
AGENDANASIONAL

Baik pulih laluan monorel selesai, kembali operasi 5 petang ini

KUALA LUMPUR, 8 MEI: Perkhidmatan laluan Monorel kembali beroperasi sepenuhnya pada 5 petang ini dengan kekerapan tren kembali normal kepada tujuh minit di waktu puncak.

Rapid Rail Sdn Bhd (Rapid Rail) dalam kenyataan hari ini memaklumkan sehubungan itu perkhidmatan tren alternatif dan bas perantara ditamatkan.

Menurut kenyataan itu kerja-kerja pembersihan dan baik pulih yang dijalankan pihak Rapid Rail dan pihak berkuasa tempatan berjaya diselesaikan pada 5.55 pagi tadi.

“Pihak operasi dan jurutera struktur juga telah selesai menjalankan beberapa pemeriksaan menyeluruh dan terperinci mengikut piawaian keselamatan yang telah ditetapkan bagi memastikan struktur landasan stabil dan selamat untuk beroperasi.

“Kekerapan tren kembali normal iaitu waktu puncak setiap tujuh minit dan waktu luar puncak setiap 10 minit,” menurut kenyataan itu.

Semalam, Rapid Rail menutup sementara empat stesen Monorel untuk kerja-kerja pembersihan dan baik pulih susulan insiden pokok tumbang berhampiran Stesen Monorel Bukit Nanas di sini.

Dalam kejadian kira-kira 2 petang itu, seorang lelaki tempatan maut manakala dua lagi cedera selepas sebatang pokok tumbang menghempap 17 kenderaan dan landasan Monorel akibat hujan lebat serta angin kuat di Jalan Sultan Ismail.

-BERNAMA


Pengarang :