Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari bercakap kepada media selepas menghadiri Majlis Muhibah Aidilfitri Kumpulan Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI di Pusat Konvensyen Setia City (SCCC), Shah Alam pada 8 Mei 2024. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

MB: Faisal Halim terima rawatan terbaik, dibantu hingga pulih

SHAH ALAM, 8 MEI: Kerajaan Negeri sedia membantu Faisal Halim untuk menerima rawatan terbaik demi memastikan tonggak pasukan Selangor FC itu pulih sepenuhnya.

Dato’ Menteri Besar berkata Persatuan Bolasepak Selangor (FAS) telah dimaklumkan dengan kesediaan pentadbiran negeri menghulurkan keperluan tambahan kepada Faisal bagi menyokong proses pemulihan.

“Semalam saya ada berhubung dengan FAS dan saya nyatakan kepada mereka kalau ada keperluan tambahan untuk rawatan, Kerajaan Negeri sedia bantu.

“Sama ada melalui dana Kerajaan Negeri atau tanggungjawab sosial korporat (CSR) untuk kita laksanakan proses pemulihan terhadap Faisal. Kejadian ini wajar diberi perhatian semua pihak,” katanya.

Terdahulu, beliau ditemani isteri, Datin Seri Masdiana Muhamad menghadiri Majlis Muhibah Aidilfitri Kumpulan Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI di Pusat Konvensyen Setia City (SCCC) di sini, hari ini.

Selain Kerajaan Negeri, Ahli Lembaga Pengarah Selangor FC Datuk Seri Shahril Mokhtar memaklumkan Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Raja Muda Selangor berkenan menanggung kos rawatan dan perubatan Faisal.

Perkembangan itu dikongsikan Shahril selepas selesai mengiringi Tengku Amir Shah yang juga pengerusi Selangor FC menziarahi Faisal di sebuah hospital swasta di sini, pagi tadi.

Ahad lalu, arena bola sepak tempatan dikejutkan dengan insiden Faisal disimbah asid oleh dua individu tidak dikenali dalam kejadian di sebuah pusat beli-belah di Petaling Jaya.

Beliau disahkan mengalami kelecuran tahap empat pada beberapa bahagian anggota badan selepas menjalani pembedahan pertama pada Ahad malam, selain pergerakan dan percakapannya turut terbatas.

 


Pengarang :