AGENDAJENAYAH

Beri laporan polis palsu kepada polis, warga emas dipenjara sehari

KUALA LUMPUR, 7 MEI: Mahkamah Majistret di sini hari ini menjatuhi seorang warga emas Orang Kurang Upaya (OKU) hukuman penjara sehari, kerana memberi laporan palsu kepada seorang anggota polis, Jumaat lepas.

Majistret Illi Marisqa Khalizan menjatuhkan hukuman itu ke atas Muhammad Jufri Tee Abdullah, 62, selepas beliau mengaku bersalah ke atas pertuduhan itu dan memerintahkannya menjalani hukuman tersebut bermula hari ini.

Lelaki itu didakwa memberikan laporan palsu kepada seorang anggota polis berpangkat konstabel di Pondok Polis UTC Pudu, Jalan Pudu di sini, pada 10.06 malam, 3 Mei, mengikut Seksyen 182 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman denda maksimum RM2,000 atau penjara maksimum enam bulan atau kedua-duanya.

Timbalan Pendakwa Raya Hamizah Hisan memohon hukuman setimpal sebagai pengajaran kepada tertuduh, manakala peguam Nurul Diyana Basher dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK) memohon denda minimum atas alasan anak guamnya seorang OKU.

“Anak guam saya yang mempunyai masalah pada mata, kaki dan tangan kanannya tidak mempunyai pekerjaan, serta tidak mempunyai keluarga. Saya harap puan (Majistret) dapat mempertimbangkan rayuan saya dan memohon agar denda minima diberikan kepada anak guam saya,” kata peguam itu.

Sementara itu di hadapan Majistret Fatin Dayana Jalil seorang pencuci kereta Muhammad Faiz Sulaiman Mohd Farid, 35, didenda RM1,000 atau dipenjara sebulan sekiranya tidak membayar denda, selepas mengaku bersalah menceroboh dengan mencabut pagar milik seorang lelaki di tapak projek Residensi Perumahan Penjawat Awam Malaysia (PPAM) Setapak di sini, pada 3 petang, 15 Mac.

Pertuduhan mengikut Seksyen 447 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimun enam bulan atau denda RM3,000 atau kedua-duanya.

Berdasarkan fakta kes, pada hari kejadian semasa pengadu tiba di tapak projek tersebut, beliau mendapati pagar besi telah dicabut dan ditinggalkan oleh tertuduh di kawasan perumahan, yang mana pagar besi itu telah mendapat kelulusan daripada pihak Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

Tertuduh kemudian mengakui perbuatannya itu, apabila ditanya oleh pengadu.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya R. Harvind manakala tertuduh diwakili peguam Mohamad Zaidi Othman.

— BERNAMA

 


Pengarang :