Penolong Ketua Pengarah Kastam Zon Tengah Norlela Ismail. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Kastam gagalkan 15 cubaan seludup keluar rokok putih sepanjang April

PUTRAJAYA, 7 MEI: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) berjaya menggagalkan 15 cubaan menyeludup keluar 786,800 batang rokok putih bernilai RM527,124 melalui syarikat perkhidmatan penghantaran bungkusan udara di Zon Perdagangan Bebas (FCZ) Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), sepanjang bulan lepas.

Penolong Ketua Pengarah JKDM Zon Tengah Norlela Ismail berkata taktik penyeludupan adalah dengan mengisi rokok berkenaan dalam kotak atau bungkusan dan memberikan maklumat palsu tentang deskripsi dagangan.

“Sindiket juga mengisytiharkan nama pengirim serta alamat pengirim yang tidak benar dan lengkap bagi menyukarkan pengesanan. Hasil pemeriksaan terhadap rokok itu didapati ia tidak dilekatkan dengan setem cukai dan tidak mempunyai tanda amaran kesihatan oleh kerajaan Malaysia,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata kes disiasat di bawah Seksyen 135(1)(e) Akta Kastam 1967 kerana berurusan dengan barang tidak berkastam.

Norlela berkata pada 25 April lepas, pihaknya juga berjaya menggagalkan cubaan menyeludup masuk rokok jenis Beedis seberat 823 kilogram (kg) dari negara Asia Selatan, yang dianggarkan bernilai RM40,743.

Beliau berkata taktik yang digunakan ialah mengikrar bungkusan rokok itu sebagai konsol permainan elektronik bagi mengaburi mata pihak berkuasa.

“Dokumen penerbangan dengan nama pengimport juga palsu. Selepas barangan dagangan ditahan, tiada mana-mana pihak sama ada ejen atau pengimport yang hadir bagi menuntut dagangan itu dan mengemukakan dokumen pengimportannya,” katanya.

Kes itu, katanya disiasat di bawah Peraturan 30(1) Peraturan-peraturan Zon Bebas 1991 iaitu mengimport barang larangan ke zon bebas tanpa permit.

Sementara itu, Norlela berkata pihaknya berjaya menggagalkan cubaan menyeludup masuk 85 kg tembakau kunyah dianggar bernilai RM8,111 dengan penahanan dua lelaki warga asing yang baru tiba ke negara ini pada 22 April lepas.

“Kedua-duanya yang berasal dari Asia Selatan ditahan bersama bagasi mengandungi tembakau kunyah terbabit dan mereka gagal mengemukakan permit yang sah bagi pengimportan tersebut,” katanya.

Menurut Norlela barang kes disita untuk siasatan lanjut, manakala pemeriksaan mendapati mereka memiliki tiket penerbangan pulang ke negara asal pada 23 April lepas.

“Pemeriksaan terhadap bagasi mendapati terdapat sedikit pakaian membuktikan mereka tidak berhasrat untuk berada lama di negara ini. Semakan pasport milik mereka pula mendapati mereka sering memasuki Malaysia untuk tempoh singkat,” katanya menambah kes disiasat mengikut Seksyen 135(1)(a) Akta Kastam 1967.

– BERNAMA

 


Pengarang :