Calon Kerajaan Perpaduan Pang Sock Tao bergambar pada santai bersama masyarakat Orang Asli di Kampung Orang Asli Buluh Telor, Kuala Kubu Bharu pada 7 Mei 2024. Foto MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN/SELANGORKINI
ADNSELANGOR

Calon terima sokongan baik, tekad bela kebajikan Orang Asli

HULU SELANGOR, 8 MEI: Calon Kerajaan Perpaduan Selangor tekad memelihara kebajikan Orang Asli dengan memastikan inisiatif negeri dimanfaatkan sepenuhnya golongan itu.

Pang Sock Tao berkata beliau juga akan mengusahakan dana khas jika diberi mandat sebagai wakil rakyat Kuala Kubu Bharu bagi membantu kumpulan itu menghidupan program keramaian.

“Hasil pertemuan bersama masyarakat Orang Asli, mereka tidak mahu pembangunan mewah. Mereka mahu menghidupan program keramaian, jadi keutamaan saya memperjuang peruntukan buat mereka,” katanya.

Ditemui dalam sebuah program di Kampung Orang Asli Buloh Telur semalam, beliau menambah pertemuan bersama komuniti berkenaan di empat perkampungan menunjukkan maklum balas positif.

Calon Kerajaan Perpaduan Pang Sock Tao beramah mesra bersama penduduk pada santai bersama masyarakat Orang Asli di Kampung Orang Asli Buluh Telor, Kuala Kubu Bharu pada 7 Mei 2024. Foto MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN/SELANGORKINI

Sock Tao turut berharap sokongan berkenaan dapat diterjemah atas kertas undi dalam pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) tersebut pada 11 Mei nanti.

“Setakat ini, mereka memahami mesej bahawa Kerajaan Perpaduan pilihan tepat untuk memastikan kebajikan mereka terpelihara,” katanya.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan Pilihan Raya Kecil DUN Kuala Kubu Bharu pada 11 Mei dengan tempoh berkempen selama 14 hari bermula 27 April.

Kerusi DUN KKB kosong berikutan kematian penyandangnya Lee Kee Hiong pada 21 Mac akibat barah. Mendiang dipilih sebagai wakil rakyat DUN Kuala Kubu Bharu sejak 2013.


Pengarang :