Keadaan kereta pemain tengah pasukan bola sepak Johor Darul Ta’zim (JDT) Safiq Rahim yang dipecah dengan tukul besi dalam kejadian di Jalan Sri Gelam, Johor Bahru pada 7 Mei 2024. Foto Instagram sportsrevobysafiqrahim
AGENDANASIONAL

Cermin kereta Safiq Rahim dipecah, penyerang tunjuk tukul besi

JOHOR BAHRU, 8 MEI: Kereta pemain tengah pasukan bola sepak Johor Darul Ta’zim (JDT) Safiq Rahim dipecah individu tidak dikenali menggunakan tukul besi di Jalan Sri Gelam di sini malam tadi.

Menurut laporan polis yang dibuat Safiq di Balai Polis Larkin, insiden berlaku pada 10.05 malam ketika beliau memandu kereta Honda City dari Pusat Latihan JDT Sri Gelam menghala ke Pantai Lido.

Menurut Safiq, beliau didatangi motosikal ditunggang dua lelaki tidak dikenali dan pemboncengnya bertindak mengeluarkan tukul besi sebelum mengetuk bahagian belakang cermin kereta.

“Saya yang terkejut memberhentikan kereta… kedua-dua lelaki terbabit berhenti di hadapan kereta sambil menunjukkan tukul dan saya mengundurkan kereta kerana ketakutan.

“Kedua-dua lelaki itu meninggalkan tempat kejadian tidak lama kemudian, akibat kejadian ini cermin belakang kereta saya pecah,” katanya dalam laporan polis yang dibuatnya selepas insiden itu.

Sementara itu, polis memaklumkan siasatan sedang dijalankan di bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan dan masih mengesan suspek.

Ahad lalu, pemain kebangsaan Faisal Halim disimbah asid di pusat membeli-belah di Kota Damansara, Selangor sehingga menyebabkan kelecuran tahap empat.

Tonggak Selangor FC itu kemudian mendapatkan rawatan di sebuah hospital.

Insiden itu berlaku selang beberapa hari selepas seorang lagi pemain kebangsaan Muhammad Akhyar Abdul Rashid cedera di kepala serta kaki selepas diserang dan disamun dua individu di kawasan kediamannya di Kuala Terengganu, Khamis lalu.

– BERNAMA


Pengarang :