Faisal Halim. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

EXCO: Faisal Halim selesai pembedahan kedua, tunjuk perkembangan positif

SHAH ALAM, 8 MEI: Pemain kebangsaan Faisal Halim yang sedang mendapatkan rawatan di sebuah hospital swasta di Shah Alam selamat menjalani pembedahan kedua dan berada dalam keadaan stabil.

EXCO Sukan Najwan Halimi berkata Faisal menunjukkan perkembangan positif dengan kawasan lecur dialaminya dapat dibersihkan dengan baik, sekali gus membantu pertumbuhan sel baharu.

“Alhamdulillah, sebentar tadi saya berhubung dengan Selangor FC dan dimaklumkan Faisal selamat menjalani pembedahan kedua dan berada dalam keadaan stabil.

“Ada progres positif di mana kawasan lecur Faisal dapat dibersihkan dengan sangat baik dan Insya-Allah akan dapat membantu pertumbuhan sel-sel baharu,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Najwan, beliau sempat melawat tonggak utama Gergasi Merah itu di wad unit rawatan rapi bersama Setiausaha Politik Perdana Menteri Ahmad Farhan Fauzi, semalam.

Wakil rakyat Kota Anggerik itu menambah Faisal memerlukan doa daripada semua pihak bagi memastikan beliau kekal bersemangat dan dikurniakan kesembuhan.

Sementara itu, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari menerusi Facebook mengajak rakyat negeri ini menunjukkan solidariti dan bantahan terhadap serangan ke atas Faisal.

“Ini waktu untuk seluruh rakyat Selangor bersatu hati mengecam sekeras-kerasnya keganasan terhadap Faisal Halim dan memberikan sokongan dan doa kepada beliau supaya kembali pulih sepenuhnya. Tindakan keji ini tiada tempat di bumi Selangor,” katanya.

Ahad lalu, Faisal dilaporkan cedera apabila disimbah asid oleh individu tidak dikenali ketika beliau bersama keluarga di sebuah pusat beli-belah terkemuka di Damansara.

Berikutan itu, pemain berusia 26 tahun berkenaan mengalami kecederaan melecur tahap empat dan perlu berada bawah pemantauan rapi hospital sekurang-kurangnya selama 10 hari.


Pengarang :