Pemain Selangor FC Mohamad Faisal Abdul Halim (tengah) diasak pemain Negeri Sembilan FC Levy Clement Mandinda (kanan) pada perlawanan Liga Super 2023 di Stadium MBPJ, Petaling Jaya pada 4 April 2023. Foto BERNAMA
AGENDASUKANKINI

Faktor keselamatan, Selangor mohon tunda Piala Sumbangsih

SHAH ALAM, 7 MEI: Selangor FC hari ini telah menghantar permohonan secara rasmi kepada Liga Bolasepak Malaysia (MFL) supaya mempertimbangkan cadangan menunda tarikh perlawanan Piala Sumbangsih 2024/2025 melibatkan pasukan itu dan Johor Darul Ta’zim (JDT), Jumaat ini.

Aksi pembuka tirai saingan Liga Malaysia (Liga-M) musim baharu itu dijadual berlangsung di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri.

Timbalan Presiden Persatuan Bolasepak Selangor (FAS) merangkap Pengerusi Jawatankuasa Teknikal Selangor FC Datuk Seri Shahril Mokhtar berkata permohonan untuk menunda perlawanan itu dibuat atas alasan faktor keselamatan.

“Saya boleh sahkan Selangor FC telah buat permohonan secara rasmi sekiranya pihak MFL dan juga JDT bersetuju untuk perlawanan Piala Sumbangsih Jumaat ini kalau dapat diubah (tarikh), bukan dibatalkan, atas dasar keselamatan.

“Saya tidak boleh dedah dan ulas lanjut mengenai alasan (faktor alasan) itu, kami sudah maklumkan secara rasmi kepada MFL, jadi biar mereka teliti,” katanya ketika ditemui selepas melawat pemain sayap Selangor FC Faisal Halim di sebuah hospital swasta di sini, hari ini.

Terdahulu, MFL memaklumkan aksi Sumbangsih bagi Piala Sultan Haji Ahmad Shah antara JDT dan Selangor FC akan kekal berlangsung Jumaat ini selepas timbul khabar angin aksi itu akan ditunda susulan insiden malang yang menimpa Faisal Halim, Ahad lepas.

Ketua Pegawai Eksekutif MFL Datuk Stuart Ramalingam berkata MFL juga tidak menerima permintaan daripada pasukan untuk menunda perlawanan itu.

Tonggak jentera serangan skuad Harimau Malaya berusia 26 tahun itu cedera dipercayai disimbah asid dalam kejadian di sebuah pusat beli-belah dan disahkan mengalami kelecuran tahap empat, selain pergerakan dan percakapannya ketika ini turut terbatas berikutan insiden itu.

Ia merupakan kejadian malang kedua menimpa pemain negara selepas Muhammad Akhyar Abdul Rashid apabila pemain pinjaman Terengganu FC itu cedera pada kepala dan kaki selepas diserang dua penyamun di kawasan kediamannya di Kuala Terengganu, Khamis lepas.

JDT selaku juara bertahan Liga Super kini mengintai untuk mempertahankan Piala Sultan Haji Ahmad Shah buat kali ketujuh berturut-turut sementara kali terakhir Selangor FC yang muncul naib juara Liga Super musim lepas, menjuarai perlawanan Piala Sumbangsih adalah pada musim 2010.

— BERNAMA


Pengarang :