Foto Facebook Selangor FC
AGENDASUKANKINI

Utama keselamatan, Selangor tarik diri Piala Sumbangsih

SHAH ALAM, 8 MEI: Selangor FC menarik diri perlawanan Piala Sumbangsih menentang Johor Darul Ta’zim (JDT) pada Jumaat ini, disebabkan faktor keselamatan.

Menerusi kenyataan rasmi di Facebook, pasukan tersebut menegaskan pihaknya memandang serius segala ancaman yang diterima beberapa pemain serta pegawai.

“Keputusan dibuat selepas penelitian dijalankan dan perbincangan terperinci dengan pelbagai pihak susulan insiden jenayah serta ancaman diterima beberapa pemain dan pegawai pasukan dalam tempoh hanya 72 jam.

“Pihak kelab terpaksa mengambil keputusan yang amat sukar untuk tidak hadir ke perlawanan Piala Sumbangsih yang telah lama kelab ini nantikan,” maklumnya.

Semalam, Selangor FC menghantar permohonan rasmi kepada MFL supaya mempertimbang cadangan menunda Piala Sumbangsih melibatkan pasukan itu JDT atas faktor keselamatan.

Bagaimanapun, Liga Bolasepak Malaysia (MFL) dalam kenyataan hari ini memaklumkan pertembungan antara Selangor FC dan JDT di Stadium Sultan Ibrahim, Johor pada Jumaat ini akan tetap berlangsung.

MFL memaklumkan jaminan keselamatan turut diberikan pihak berkuasa dengan kawalan dan pemeriksaan ketat oleh 1,500 anggota polis sepanjang perlawanan berlangsung.

Ahad lalu, arena bola sepak tempatan dikejutkan dengan insiden Faisal cedera dipercayai disimbah asid dalam kejadian di sebuah pusat beli-belah di Petaling Jaya.

Beliau disahkan mengalami kelecuran tahap empat pada beberapa bahagian anggota badan selepas menjalani pembedahan pertama pada Ahad malam, selain pergerakan dan percakapannya turut terbatas.


Pengarang :