Calon Kerajaan Perpaduan Pang Sock Tao (kanan) ditemani Ahli Parlimen Segambut Hannah Yeoh ketika Program santai anak muda dan masyarakat orang asli Kampung Buluh Telur, Kuala Kubu Baru bersama di Tapak Perkhemahan Betong Rimbayu Kuala Kubu Baru pada 5 Mei 2024. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/SELANGORKINI
ADNSELANGOR

Hannah: Jangan abai hak mengundi, pilih wakil rakyat terus majukan KKB

HULU SELANGOR, 6 MEI: Pengundi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Baharu perlu menunaikan tanggungjawab masing-masing dan tidak mengabaikan hak mereka untuk memilih wakil rakyat kawasan berkenaan pada 11 Mei ini.

Bekas speaker Dewan Negeri Selangor (DNS) Hannah Yeoh berkata Ahli Dewan Negeri (ADN) yang dipilih akan membawa suara rakyat dan isu di kawasan masing-masing dalam DNS.

“Pilihan raya ini (pilihan raya kecil) Kuala Kubu Baharu adalah untuk memilih ahli dewan negeri. ADN ini peranannya sangat penting kerana dia rapat dengan komuniti dan akan bawa suara (rakyat di kawasan) ke DNS.

“Mendiang (Lee Kee Hiong) telah buat kerja dengan bagus di sini (Kuala Kubu Bharu) dan ini masa untuk memilih wakil rakyat yang akan menyambung legasi beliau.

“Saya percaya calon Kerajaan Perpaduan Pang Sock Tao mampu meneruskan legasi mendiang Lee Kee Hiong kerana beliau mempunyai pengalaman di Putrajaya dan juga rapat dengan komuniti,” katanya.

Beliau ditemui selepas meluangkan masa bersama kira-kira 30 anak muda Orang Asli Kampung Buluh Telur di Beting Rimbayu Campsite Kuala Kubu Bharu di sini, semalam.

Hannah berkata memasuki sembilan hari berkempen momentum jentera Perpaduan berada pada tahap baik.

“(Dalam berkempen) kita tertakluk kepada undang-undang pilihan raya oleh itu saya menasihatkan semua agar berkempen secara sihat dan bersih.

“Ini bagi memastikan peluang menang dan berkhidmat itu tidak terganggu oleh petisyen selepas pilihan raya,” katanya.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan tarikh penamaan calon dan pengundian awal pilihan raya kecil di DUN berkenaan masing-masing pada 27 April (Sabtu) dan 7 Mei (Selasa) manakala hari pengundian adalah 11 Mei (Sabtu).

Kerusi DUN Kuala Kubu Baharu kosong berikutan kematian penyandangnya Lee Kee Hiong pada 21 Mac selepas bergelut melawan barah beberapa tahun lalu.

PRK Kuala Kubu Baharu ialah PRK ketujuh diadakan selepas pilihan raya umum ke-15. Seramai 40,226 pengundi berdaftar di DUN tersebut termasuk polis dan tentera.


Pengarang :