Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari menyampaikan ucapan pada ceramah Mega Perpaduan PRK DUN Kuala Kubu Baharu di Bandar Utama Batang Kali pada 3 Mei 2024. Foto MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Hujah PN kerap berubah, ambil keselamatan terhadap isu bagi nampakkan kewujudan

HULU SELANGOR, 4 MEI: Pendirian Perikatan Nasional (PN) sentiasa berubah dan tidak tetap selain mengambil kesempatan terhadap sebarang isu demi menampakkan kewujudan mereka dalam politik.

Pengerusi Pakatan Harapan (HARAPAN) negeri berkata pemimpinnya sering menukar isu untuk menyerang kerajaan memandangkan hujah di utara hanya berdasarkan sentimen, bukan data atau angka sebenar.

Melihat gerak kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Baharu (KKB), Dato’ Seri Amirudin Shari berkata hujah pembangkang juga menjurus untuk mempermainkan rakyat serta mahu menitikkan kemarahan.

“Menuju ke PRK, sebelum dan selepas penamaan, PN sentiasa melompat-lompat. Mula kata ada ayunan perubahan, tukar kerajaan. Tang mana nak tukar, wakil rakyat dia pun sokong saya.

“Dua tiga hari lepas nada mula berubah, serangan juga berubah. Kata ekonomi Selangor makin dizalimi sebab keluarkan belanjawan defisit. Ketua pembangkang kata inflasi meningkat.

“Dengar sini. Inflasi memang meningkat 1.8. Zaman kamu tiga, empat peratus. Tiga dengan satu pun tak faham. Macam mana jadi menteri ekonomi, sebab itu gagal,” katanya pada program ceramah mega perpaduan di sini malam tadi.

Orang ramai mengikuti ceramah Mega Perpaduan PRK DUN Kuala Kubu Baharu di Bandar Utama Batang Kali pada 3 Mei 2024. Foto MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN/SELANGORKINI

Mengambil contoh pembukaan Akaun Fleksibel atau Akaun 3 KWSP, Dato’ Menteri Besar berkata ia jelas menunjukkan parti terbabit tidak memiliki pendirian teguh sekali gus tidak layak mentadbir negara ini.

“(Sebelum ini) hari-hari kata keluarkan KWSP. Kita cakap cara itu tak sesuai kerana kurangkan simpanan. Ramai orang terpaksa bergantung (KWSP) dan nilai simpanan hari tua sikit. Jadi kita guna cara dengan wujudkan akaun ketiga.

“Yang dulu suruh keluarkan, sekarang sebut apa nasib kita kalau keluarkan KWSP. Sebab itu PN tak ada pendirian tetap. Hanya ambil kesempatan. Hanya sebabkan ketidakstabilan dan negara tak kan makmur, dalam krisis.

“Dalam HARAPAN ada 19 parti gabungan dan ini pastikan kestabilan negara kekal. Ini masa depan rakyat Malaysia dan negeri ini,” katanya.


Pengarang :