Pengerusi Pakatan Harapan (HARAPAN) Selangor Dato’ Seri Amirudin Shari berucap ketika ceramah kelompok di Balairaya Kampung Kelapa, Kuala Kubu Bharu, Hulu Selangor pada 8 Mei 2024. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

MB: Dakwaan pembangkang cukai pintu MPAJ naik tidak benar

HULU SELANGOR, 9 MEI: Dakwaan pembangkang bahawa Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) menaikkan kadar cukai pintu tidak benar, tegas Dato’ Seri Amirudin Shari.

Sebaliknya, Dato’ Menteri Besar berkata notis itu merupakan penilaian dilakukan majlis bagi melihat kadar semasa aset hartanah milik penduduk di sana.

“Lepas ini Majlis Perbandaran Selayang (didakwa). Kita nak tengok harga. Kalau harga jatuh bermakna kerajaan salah, gagal bentuk peluang ekonomi. Jadi orang pun tak mahu duduk situ.

“Harga rumah jatuh bermakna tiada aktiviti ekonomi tapi kalau nilai naik maknanya harga aset meningkat. Jadi itu penilaian, cukai pun akan dinilai.

“Tapi tuduh kerajaan naikkan cukai, kerajaan zalim sedangkan tuan-tuan boleh buat bantahan (penilaian) dalam tempoh tertentu,” katanya berucap di ceramah kelompok malam tadi.

Pengerusi Pakatan Harapan (HARAPAN) negeri berkata perkara itu tidak seharusnya ditimbulkan bekas menteri besar atau EXCO semata-mata untuk menarik undi pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Kubu Baharu.

“Ini tipu orang. Kata nak bela Melayu tetapi merendahkan akal Melayu. Ini adalah dosa dan saya akan lawan.

“Tak nak orang kita dibodohkan. Tengok kertas dah tahu itu penilaian. Boleh lantik penilai untuk lihat nilai,” katanya.

Minggu lalu Perikatan Nasional mendakwa Kerajaan Negeri menaikkan cukai pintu dengan kadar kenaikan mencecah hingga empat kali ganda berbanding nilai sedia ada.

Pengerusi negeri Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali mendakwa cukai berkenaan dinaikkan kepada RM429 setahun, berbanding kadar sedia ada iaitu RM191.40.

 


Pengarang :