Dua pusat pengundian awal bagi PRK DUN Kuala Kubu Baharu dibuka serentak pada pagi 7 Mei 2024 di Dewan Serbaguna Maktab Polis Diraja Malaysia dan Rejimen Semboyan Divisyen ke-4 Infantri. Foto Facebook BERNAMA
ADNBERITA UTAMASELANGOR

Jangan abai hak mengundi, pilih wakil rakyat mampu bawa kemajuan

SHAH ALAM, 7 MEI: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan pilihan raya kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Baharu diadakan pada 11 Mei.

Pilihan raya berkenaan diadakan berikutan kematian penyandangnya Lee Kee Hiong pada 21 Mac selepas bergelut melawan barah beberapa tahun lalu.

Berbaki kurang seminggu, penduduk setempat berkongsi satu hasrat – mahukan rakyat menjalankan tanggungjawab mengundi untuk memilih wakil rakyat kawasan.

 

“Sebagai anak jati Kuala Kubu Bharu sudah pasti saya akan keluar mengundi kerana ini merupakan tanggungjawab sebagai rakyat Malaysia. Mewakili anak muda, saya seru mereka jangan lepas peluang.

“Buat pilihan masing-masing, tetapi jalankan tanggungjawab demi masa depan negara. Saya berharap pemimpin yang dipilih nanti dapat membantu meningkatkan ekonomi penduduk setempat.”

Chong Jiun Yen, 36, pemilik kedai barangan elektrik

 

“Jangan lupa keluar mengundi pada tarikh ditetapkan, pilih pemimpin yang kita mahu demi kebaikan pembangunan Kuala Kubu Bharu. Peluang ini hanya datang sekali dan perlu dimanfaatkan sebaiknya.

“Saya bukan pengundi sini tetapi isteri akan mengundi. Saya akan bawa isteri dan pastikan beliau jalankan tanggungjawab sebagai rakyat Malaysia.”

Asrul Masumi, 42, kakitangan awam

 

“Sebagai rakyat, menjadi hak individu untuk mengundi kerana pemimpin yang dipilih akan membantu menaikkan kawasan setempat. Biar ada perubahan dan apa yang kita mahukan demi kebaikan negara.

“Saya sudah menetap di Kuala Kubu Bharu lebih 20 tahun dan pelbagai pembangunan serta naik taraf dilakukan. Jadi, apa kita mahukan marilah sama-sama kita keluar mengundi.”

Augustine, 43, juruteknik

 

“Sebagai orang lama, saya tidak pernah gagal keluar mengundi kerana ini adalah kewajipan sebagai rakyat untuk membentuk negara yang kita mahu.

“Sekiranya layak mengundi, mesti pilih calon yang kita mahu. Saya mesti akan pergi mengundi, bawa motor dan pilih calon yang boleh bagi semua senang selain anak-anak juga mesti keluar mengundi.”

Lim Cho Kee, 75, warga emas


Pengarang :