Calon Kerajaan Perpaduan Pang Sock Tao melawat pusat undi awal di Dewan Serbaguna Maktab PDRM, Kuala Kubu Bharu pada PRK DUN Kuala Kubu Baharu 7 Mei 2024. Foto MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Calon Kerajaan Perpaduan tinjau proses undi awal, seru tunai tanggungjawab

HULU SELANGOR, 7 MEI: Calon Kerajaan Perpaduan meninjau proses pengundian awal Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Baharu di Dewan Serbaguna Maktab Polis Diraja Malaysia di sini hari ini.

Pang Sock Tao, 31, tiba pada jam 8.45 pagi dan meluangkan masa 30 minit meninjau proses pengundian awal yang dibuka sejak 8 pagi.

Ketika ditemui, Sock Tao menyeru supaya semua yang terlibat proses pengundian awal segera menunaikan tanggungjawab mengundi sebelum tamat pada 5 petang.

“Saya menyeru supaya semua keluar mengundi menunaikan tanggungjawab sebagai rakyat Malaysia. Undi calon wakil yang dapat memacu pembangunan dan menjamin kesejahteraan rakyat sekali gus beri kestabilan pada negeri.

“Setakat tinjauan tadi, saya melihat proses pengundian awal teratur dan berjalan lancar. Terima kasih kepada semua pihak terlibat,” katanya.

Kerusi DUN Kuala Kubu Baharu kosong berikutan kematian penyandangnya Lee Kee Hiong pada 21 Mac lalu selepas bergelut melawan barah beberapa tahun lalu.

PRK Kuala Kubu Baharu ialah PRK ketujuh diadakan selepas pilihan raya umum ke-15. Seramai 40,226 pengundi berdaftar di DUN tersebut termasuk polis dan tentera.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan pengundian pada 11 Mei menakala penamaan calon dan pengundian awal masing-masing pada 27 April (Sabtu) dan 7 Mei (Selasa).

Calon Kerajaan Perpaduan Pang Sock Tao melawat pusat undi awal di Dewan Serbaguna Maktab PDRM, Kuala Kubu Bharu pada PRK DUN Kuala Kubu Baharu 7 Mei 2024. Foto MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN/SELANGORKINI

Pengarang :