Timbalan Presiden Amanah Mujahid Yusof Rawa berucap ketika Ceramah Mega Perpaduan PRK Kuala Kubu Baharu di Taman Ampang Pechah, Hulu Selangor pada 7 Mei 2024. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Jangan termakan sentimen pecah belah pembangkang, mengelirukan orang ramai

HULU SELANGOR, 8 MEI: Pengundi Kuala Kubu Baharu (KKB) diseru tidak termakan dengan sentimen parti pembangkang yang cuba memecah belah perpaduan masyarakat.

Timbalan Presiden Parti Amanah Negara (Amanah) Datuk Seri Mujahid Yusof Rawa berkata gabungan pembangkang cuba mengelirukan orang ramai dengan isu agama dan bangsa.

“Ada pemimpin dari kawan lama saya, dia kempen, dia kata, ciri-ciri calon yang kita mahu adalah yang menunaikan solat dan berzakat. Dia mengelirukan orang ramai.

“Saya tidak hairan mereka ini, dalil mereka boleh berubah dari masa ke semasa,” katanya ketika berucap pada program Ceramah Kelompok Perpaduan di Taman Rekreasi Ampang Pecah di sini, semalam.

Program tersebut turut dihadiri wakil rakyat dari Duyung, Melaka Mohd Noor Helmy Abdul Halem, bekas wakil rakyat Sungai Panjang Datuk Dr Budiman Mohd Zohdi dan pimpinan tempatan parti.

Menurut Mujahid, calon bukan Islam diketengahkan pada Pilihan Raya Kecil (PRK) KKB adalah seorang calon yang berpotensi dan simbolik kepada lambang perpaduan masyarakat berbilang kaum di Malaysia.

Jelas bekas menteri hal ehwal agama Islam itu ancaman terhadap Melayu dan agama Islam juga tidak wujud berikutan pemimpin tertinggi negeri dan negara adalah seorang melayu muslim.

“Kita ini orang Malaysia. Kita memilih calon kita yang bukan islam kerana dia duduk dalam pakatan kita yang pemimpinnya ada org Islam.

“Dato’ Menteri Besar kita Islam, perdana menteri kita Islam. Berhentilah sokong calon yang mengelirukan orang ramai. Mereka guna dalil yang mereka rasa sesuai dan bukan kerana ilmu,” katanya.


Pengarang :