Antara pengunjung Jualan Ehsan Rahmah DUN Kuala Kubu Bharu di Karnival Kepenggunaan KPDN Selangor yang diadakan di Fraser Valley, Kuala Kubu Bharu pada 04 Mei 2024. Foto MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN/SELANGORKINI
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

JER: Pengunjung puas hati kualiti barang, beli bekalan makanan bulanan

HULU SELANGOR, 4 MEI: Penganjuran Jualan Ehsan Rahmah (JER) di Fraser Valley, Kuala Kubu Bharu di sini hari ini memberi peluang kepada penduduk setempat membeli bekalan makanan keperluan asas bulanan mereka.

Pembantu Operasi Latifah Jamaluddin, 41, tidak melepaskan peluang mendapatkan bekalan makanan asas untuk dua bulan memandangkan jualan kali ini tiada had pembelian

Latifah Jamaluddin, 41,

“Sudah beberapa kali saya pergi JER termasuk di kawasan rumah di Kampung Orang Asli Tun Razak dan saya faham memang ada had pembelian setiap kali jualan.

“Tapi kali ini mereka kata boleh beli lebih daripada biasa, jadi saya terus ambil peluang beli bekalan untuk dua bulan, bolehlah saya berjimat,” katanya Ketika ditemui Selangorkini.

Latifah turut berharap JER dapat dilaksana lebih kerap di kawasan luar bandar terutama kampung Orang Asli kerana mereka sukar untuk keluar ke bandar membeli barangan keperluan.

Kakitangan awam, Zaini Husin, 47, berkata beliau tertarik untuk datang selepas rakanya memaklumkan barangan JER murah namun kualitinya setanding pasar raya.

Zaini Husin, 47,

“Jadi memang betul keputusan saya hari ini. Bila tengok kualiti barangan memang puas hati. Saya belanja kurang RM100 di sini untuk beli ayam, beras, ikan dan beras. Kalau di luar sudah pasti perlu bayar lebih.

“Saya terus beli untuk bekalan sebulan di rumah. Lepas ini memang akan pergi lagi sebab barangam ditawarkan memang berkualiti,” katanya yang teruja berbelanja di JER.

Pesara, Ahmad Kamil Johor, 70, berkata penganjuran jualan murah untuk barangan asas adalah langkah yang sangat bagus bagi membantu rakyat yang terkesan dengan kos sara hidup tinggi.

Ahmad Kamil Johor, 70,

“Memang sangat bagus bila Kerajaan Perpaduan buat program ini. Dulu di Selangor tapi sekarang lebih meluas. Saya sebagai warga emas yang sudah bersara memang suka kerana mudah untuk pergi,” katanya.

Sementara itu, Pengurus Kanan Pemasaran Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) Md Fazir Abdul Latif berkata penganjuran JER di kawasan itu sempena Karnival Kepenggunaan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Selangor dan PKPS.

Katanya, sebanyak 1,000 ayam, beras (600 kampit), telur (600 papan), daging pejal 1kg (400 paket), ikan (400 paket) dan minyak masak 5kg (144 botol) disediakan untuk pengunjung selain produk barangan kering keluaran PKPS.

Orang ramai tidak lepas peluang mendapatkan barangan asas murah pada Jualan Ehsan Rahmah DUN Kuala Kubu Bharu di Karnival Kepenggunaan KPDN Selangor yang diadakan di Fraser Valley, Kuala Kubu Bharu pada 04 Mei 2024. Foto MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN/SELANGORKINI

Pengarang :