Skuadron Perisai 9 Pasukan Gerakan Am (PGA) melakukan rondaan di sepanjang Sungai Golok pada 7 Mei 2024. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Kereta perisai, dron kawal sempadan Malaysia-Thailand di Sungai Golok

PASIR MAS, 7 MEI: Sempadan Malaysia-Thailand di sepanjang Sungai Golok, di sini, kini ‘dikawal’ kereta berperisai dan dron Briged Tenggara Pasukan Gerakan Am (PGA) bagi memastikan kawalan berada pada tahap terbaik.

Timbalan Komander Briged Tenggara PGA ACP Hakemal Hawari berkata kereta perisai daripada Skuadron Perisai 9 itu digerakkan sejak Khamis lalu, susulan insiden letupan bom di Selatan Thailand pada 29 April lepas.

Beliau berkata usaha berkenaan sekali gus memperkasakan kehadiran kereta perisai jenis Commando V150 PGA di kawasan sempadan negara.

“Kereta perisai telah digerakkan untuk tugas rondaan di sepanjang Sungai Golok bermula dari Pos Ular hingga Pos Ibrahim Pencen bagi mengembalikan keyakinan masyarakat terhadap tahap keselamatan,” katanya.

Menurut Hakemal, selain itu Unit Dron Batalion 7 turut digerakkan dengan dibantu Unit Dron Pasukan Gerakan Udara untuk mengesan sebarang aktiviti rentas sempadan negara.

“Insiden tembakan dan pengeboman yang berlaku sememangnya memberi kesan terhadap tahap keselamatan sempadan negara yang dilihat mampu menjejaskan sosioekonomi dan kehidupan harian masyarakat sekitar jika tidak ditangani secara berhemah.

“Briged Tenggara PGA bersama polis kontinjen Kelantan akan terus komited dalam memastikan sempadan negara tidak dibolosi sebarang kegiatan jenayah rentas sempadan,” katanya.

Pada 2 Mei lalu, polis Kelantan mula menggunakan kenderaan berperisai AFV Commando V150 untuk memperketat kawalan keselamatan di sempadan Malaysia-Thailand susulan insiden bom berkenaan.

– BERNAMA


Pengarang :