Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berucap pada majlis pertemuan bulanan bersama warga Kementerian Kewangan di Putrajaya pada 7 Mei 2024. Foto Facebook Anwar Ibrahim
AGENDANASIONAL

Agenda baharu banteras rasuah hapus kerakusan orang berpengaruh

PUTRAJAYA, 7 MEI: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini melancarkan Strategi Pembanterasan Rasuah Nasional (NACS) 2024-2028 yang memberi fokus terhadap keberkesanan usaha pencegahan rasuah, selain meningkatkan tatakelola dan integriti dalam pentadbiran perkhidmatan awam serta syarikat berkaitan kerajaan.

NACS 2024-2028, menggantikan Pelan Antirasuah Nasional (NACP) 2019-2023, ialah komponen penting agenda reformasi Malaysia yang menggariskan strategi-strategi teras secara menyeluruh dalam usaha pencegahan rasuah di Malaysia.

Berucap pada Majlis Peluncuran NACS 2024-2028 di sini hari ini, Anwar berkata isu rasuah tidak boleh dipandang ringan dan semua pihak termasuk masyarakat awam perlu memainkan peranan membanteras permasalahan itu.

“Bila kita luncurkan agenda ini (NACS), ya tentu tonggaknya masih Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), tetapi ia juga melibatkan yang lain (seperti) Lembaga Hasil Dalam Negeri, Polis Diraja Malaysia, Jabatan Imigresen, Jabatan Kastam dan agensi lain, yang harus memastikan negara ini beranjak daripada ketelanjuran lalu dan lebih bertekad untuk membanteras (rasuah).

“Saya punya keyakinan kepada Azam (Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Azam Baki) dan keluarga SPRM yang telah diberi amanah, kepercayaan dan dukungan … tidak kenal darjat dan kedudukan (membanteras rasuah) supaya rakyat dapat mesej yang jelas,” katanya.

Anwar berkata Malaysia tidak boleh diselamatkan dan nasib rakyat tidak mungkin terbela jika membiarkan penguasa, penjawat awam dan badan penguat kuasa merasakan mereka mempunyai hak untuk memunggah kekayaan dan menjalankan pentadbiran mengikut hukum rimba.

Beliau berkata biarpun ada pihak cuba menggagalkan usaha SPRM mengambil tindakan terhadap pihak atau individu disyaki terlibat dalam kesalahan rasuah dan seumpamanya, menjadi tugas semua pihak termasuk generasi muda untuk menyelamatkan negara dan membela nasib rakyat.

“Bayangkan pembasmian kemiskinan, sekolah, hospital, prasarana rakyat, nasib nelayan, petani, pekebun kecil getah, sawah padi … hampir semua boleh kita bereskan sekiranya kita dapat selamatkan negara daripada kerakusan, tamak haloba orang yang guna kuasa, kedudukan sama ada pimpinan politik atau penjawat awam atau swasta kerana tamak haloba yang tidak terkawal.

“Untuk memerangi (rasuah), anda perlukan pasukan yang amat kuat, komited, berdedikasi dan berani. Memerangi rasuah perlukan undang-undang kukuh dan melindungi,” katanya.

Anwar percaya majoriti rakyat juga resah dan benci dengan isu rasuah dalam negara, namun tidak dinafikan masih ada segelintir pihak yang mempertahankan salah guna kuasa dan rasuah kerana individu terlibat itu adalah daripada golongan berpengaruh dan berdarjat.

-BERNAMA

 


Pengarang :