Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari menghadiri Majlis Muhibah Aidilfitri Kumpulan Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI di Pusat Konvensyen Setia City (SCCC), Shah Alam pada 8 Mei 2024. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

MB: PBT diarah pangkas pokok, elak insiden tumbang, dahan patah

SHAH ALAM, 8 MEI: Pihak berkuasa tempatan (PBT) di negeri ini diarah memangkas pokok tua bagi mengelakkan kejadian di Jalan Sultan Ismail, Kuala Lumpur, semalam, berulang.

Dato’ Menteri Besar berkata kerja tersebut perlu dilaksanakan bagi mengelak kejadian pokok tumbang atau dahan patah yang menimbulkan risiko kepada orang ramai.

“Perkara akan saya bawa dalam mesyuarat Majlis Mesyuarat Keselamatan Negeri (MMKN) pada Jumaat ini. Kerja memotong pokok perlu dilaksanakan bagi mengelak kejadian terutama ketika hujan kebat atau angin kuat.

“Ini semua adalah fenomena yang perlu diperhatikan terutama oleh PBT bagi memastikan keselamatan dan kehidupan rakyat sekeliling terjamin,” katanya kepada pemberita.

Amirudin ditemui selepas menghadiri Majlis Muhibah Aidilfitri Kumpulan Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI di Pusat Konvensyen Setia City (SCCC) di sini, hari ini.

Ahli Parlimen Gombak yakin semua PBT di negeri ini mengambil pengajaran susulan kejadian banyak pokok tumbang ketika hujan lebat di sekitar Shah Alam beberapa tahun lalu.

“Puluhan pokok tumbang dan itu nasib baik tidak meragut nyawa. Sebab itu saya percaya mereka telah belajar daripada peristiwa tersebut dan telah ambil langkah-langkah lanjut tetapi peringatan harus kita teruskan,” katanya.

Seorang lelaki maut manakala seorang lagi cedera dalam kejadian pokok tumbang di Jalan Sultan Ismail, Kuala Lumpur, petang semalam.

Pokok tersebut turut menimpa 17 kenderaan lain selain dahan pokok turut merosakkan landasan monorel di jalan tersebut.


Pengarang :