https://selangorkini.my/2024/04/ribuan-ibu-bekerja-dapat-insentif-rm1000-ringan-beban-jagaan-anak/
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Negeri bela kebajikan wanita, sedia banyak program jana pendapatan

SHAH ALAM, 8 MEI: Selangor menyediakan lebih kurang 50 program kebajikan di bawah Iltizam Selangor Penyayang (ISP) yang sebahagian besarnya untuk kaum Hawa.

Bagi menyokong ibu bekerja, pentadbiran negeri menyediakan insentif MamaKerja berjumlah RM1,000 bagi meringankan beban kos penjagaan anak-anak selain Bantuan Khas Anak Istimewa Selangor (ANIS).

Siti Norasyikin Sahat. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

Kerajaan Negeri turut menyediakan Bantuan Kehidupan Sejahtera Selangor (BINGKAS) RM300 sebulan untuk meringankan belanja dapur.

Selain bantuan tunai, usaha memperkasa golongan wanita termasuk ibu tunggal dilaksanakan menerusi pembiayaan perniagaan di bawah Yayasan Hijrah Selangor (Hijrah) dan Insentif Media Digital Usahawan Wanita Muda (Usahawanita).

Bagi penerima insentif MamaKerja Siti Norasyikin Sahat, 39, bantuan itu sedikit-sebanyak meringankan beban keluarga terutama untuk perbelanjaan sekolah.

“Insentif ini sangat membantu kerana tiga anak saya bersekolah dan suami pula bekerja sendiri. Alhamdulillah, insentif MamaKerja saya selesaikan yuran sekolah anak-anak,” katanya yang bekerja pembantu tadbir.

Masni Ishak. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

Peniaga Masni Ishak, 51, berkata pembiayaan Yayasan Hijrah Selangor (Hijrah) membantu beliau bangkit khususnya ketika negara dilanda Covid-19.

“Saya berniaga menjual lauk-pauk sejak 10 tahun lalu dan amat terkesan ketika pandemik Covid-19. saya merupakan peminjam Hijrah di bawah skim i-Bisnes dan kini skim Pembiayaan Niaga Darul Ehsan (NaDI).

“Pembiayaan ditawarkan Hijrah sangat membantu peniaga. Poses permohonan cepat manakala jadual pembayaran balik pinjaman tidak membebankan peniaga,” katanya.

Pekerja pembersihan M Danalethchumy, 45, berharap program BINGKAS dikekalkan demi membantu kelangsungan hidup.

M Danalethchumy. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

Ibu tunggal tunggal itu berkata bantuan bulanan RM300 atau RM3,600 setahun sedikit sebanyak meringkan beban menyara dua anak bersekolah.

“Saya memohon bantuan ini di pejabat wakil rakyat dan menunggu kira-kira bulan sebelum dimaklumkan pernohonan diluluskan.

“Dengan pendapatan hanya RM1,000, sudah tentu bantuan ini meringkan belanja. Saya juga berharap program ini ditambah baik pada masa depan,” katanya.

 

 


Pengarang :