Dato’ Menteri Besar Selangor Dato’ Seri Amirudin Shari melihat cara penggunaan sistem smartbox di Pejabat Daerah dan Tanah Klang pada 28 Oktober 2022. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
EXCOSELANGOR

MB: Sistem e-Tanah pantas tangani isu pemilikan bertindih

SHAH ALAM, 9 MEI: Pelaksanaan sistem e-Tanah di Selangor sejak tahun lalu membantu menangani isu pemilikan tanah bertindih pada peringkat awal, kata Dato’ Menteri Besar.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata sistem berkenaan antara lain berfungsi memastikan pengurusan dan pentadbiran tanah lebih bersepadu menerusi kaedah pendigitalan.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari bercakap kepada media selepas menghadiri Majlis Muhibah Aidilfitri Kumpulan Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI di Pusat Konvensyen Setia City (SCCC), Shah Alam pada 8 Mei 2024. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

“Kes membabitkan pelakon Amar Baharin itu saya masih belum dapat laporan rasmi penuh. Tapi saya difahamkan ia sudah selesai. Ini (isu pemilikan bertindih) bukan pertama kali berlaku.

“Kebanyakannya terjadi kerana ia direkodkan secara manual sebelum ini. Tetapi sejak ada sistem e-Tanah yang sedang diguna pakai, kes dapat ditangani di peringkat awal,” katanya.

Amirudin berkata demikian ketika ditemui selepas menghadiri Majlis Muhibah Aidilfitri Kumpulan Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI di Pusat Konvensyen Setia City (SCCC) di sini, semalam.

Kakitangan kerajaan Nur Hidayah Mohd Hanib melakukan demonstrasi pada perasmian sistem ‘Smartbox PTGS’ di Bangunan SSAAS, Shah Alam pada 24 Julai 2020. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

Sistem e-Tanah yang mula diperkenal di negara ini pada 2021 menekankan pengurusan dan pentadbiran tanah bersepadu di negeri-negeri Semenanjung. Selangor melaksana sistem itu sejak 30 Oktober tahun lalu.

Sebelum ini, Amar menerusi media sosial menuntut penjelasan berhubung geran tanah milik keluarganya di Semenyih yang didakwa mempunyai dua geran berbeza.

 


Pengarang :