Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berucap pada majlis pelancaran Draf Rancangan Struktur Negeri Selangor 2035 (pengubahan) di Pusat Konvensyen MBSA pada 9 Mei 2024. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/SELANGORKINI
BERITA UTAMASELANGOR

Orang ramai diseru beri maklum balas pelan pembangunan negeri

SHAH ALAM, 9 MEI: Orang ramai dipelawa memeriksa laporan serta mengemuka cadangan atau bantahan terhadap Draf Rancangan Struktur Negeri Selangor 2035 (Pengubahan) bermula hari ini hingga 8 Jun depan.

Menerusi Program Publisiti dan Penyertaan Awam Draf Rancangan Struktur Negeri Selangor 2035 (Pengubahan) yang dilancarkan Dato’ Menteri Besar, masyarakat berpeluang mengemuka maklum balas berhubung cadangan dasar dan strategi pembangunan yang terkandung dalam dokumen itu.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata penyertaan awam itu bagi memastikan Selangor mempunyai rangka pembangunan dan perancangan komprehensif merangkumi segenap aspek mengambil kira reaksi dan perkembangan semasa.

“Ini penting bagi memastikan kita tidak terlepas pandang. Ia adalah hal besar, satu rangka untuk tahun 2035. Pembangunan Selangor ada dasar dan prinsip yang mesti disesuaikan dengan keadaan dan situasi (semasa).

“Ini rangka (pembangunan dan perancangan) Selangor yang jelas dasarnya. Siapa pun yang akan mentadbir sudah ada rangka ini. Ini bukan rangka kita (Kerajaan Negeri semata-mata) tapi rangka suara rakyat,” katanya berucap pada majlis itu di Pusat Konvensyen Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) hari ini.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari ditemani Pengarah Jabatan Perancangan Bandar dan Desa (PLANMalaysia Selangor) TP Khairulzaman Ibrahim melawat pameran Draf RF dan sistem Geospatial (SISMAP) ketika majlis pelancaran Draf Rancangan Struktur Negeri Selangor 2035 (pengubahan) di Pusat Konvensyen MBSA pada 9 Mei 2024. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/SELANGORKINI

Bercakap pada sidang media, Amirudin menjelaskan Draf Rancangan Struktur Negeri Selangor 2035 (Pengubahan) merupakan kajian semula Rancangan Struktur Negeri Selangor yang diwartakan pada 2017.

“Ini adalah pengubahan. Maknanya benda ini bukan benda baru, 2017 kita telah wartakan rancangan struktur ini dan kemudian ia melalui proses pengubahan. Pengubahan itu adalah berdasarkan reaksi dan perkembangan semasa serta trend yang berlaku di sekeliling.

“Jadi mungkin (antara) perkara yang ditumpukan selepas ini kita ingin melihat pembangunan di kawasan pinggir bandar yang boleh menjadi pemangkin kepada pembangunan dan juga kerancakan kawasan yang belum menerima rencana pembangunan.

“Selain itu rancangan wilayah berskala tinggi sama ada dalam Kawasan Pembangunan Sabak Bernam (SABDA), Zon Pembangunan Ekonomi Selangor Maritime Gateway (ZPE SMG) mahupun Wilayah Pembangunan Bersepadu Selatan Selangor (IDRISS),” katanya.

Kerajaan Negeri menerusi Jabatan Perancangan Bandar dan Desa Negeri Selangor (PLANMalaysia Selangor) melaksana pengubahan ke atas Rancangan Struktur Negeri Selangor 2035 bagi menyelaras semula dasar dan polisi semasa peringkat antarabangsa, persekutuan dan negeri yang belum pernah dipinda atau ditambah baik sejak pewartaan pada 2017.

Menggariskan 17 hala tuju strategik, 73 dasar dan 522 inisiatif pelaksanaan, pengubahan ini dapat menyelaras trend pembangunan semasa Selangor seperti yang digariskan dalam Rancangan Selangor Pertama (RS-1) antaranya IDRISS, SABDA, ZPE SMG, KLIA Aeropolis, Pelan Penjanaan Semula Lapangan Terbang Subang (SARP) dan pembangunan pelabuhan ketiga di Pulau Carey.

Laporan Draf Rancangan Struktur Negeri Selangor 2035 (Pengubahan) boleh diperiksa di ruang legar Bangunan Darul Ehsan Shah Alam, Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Shah Alam dan Premis F5 Ibu Pejabat PLANMalaysia Putrajaya.

Dokumen draf ini dan borang bantahan boleh didapati menerusi pautan https://linktr.ee/rsns2035pengubahan atau layari https://www.jpbdselangor.gov.my/ untuk maklumat lanjut.


Pengarang :