Orang ramai mengusung jenazah warga Palestin yang terkorban akibat serangan tentera zionis pada 27 Mac, bersamaan 17 Ramadan iaitu hari ulang tahun turunnya al-Quran, semasa konflik di Rafah pada 27 Mac 2024. Foto REUTERS
AGENDAGLOBAL

Mesir kutuk operasi ketenteraan Israel di Rafah, gesa campur tangan antarabangsa

KUALA LUMPUR, 7 MEI: Mesir pada Selasa mengutuk sekeras-kerasnya operasi ketenteraan Israel di bandar Rafah, Palestin.

Menurut kenyataan Kementerian Luar negara itu yang dikongsi melalui kedutaannya di sini, Mesir juga menekankan betapa seriusnya perkembangan berkenaan dengan menegaskan potensinya untuk mengancam nyawa lebih sejuta penduduk Palestin yang sangat bergantung kepada lintasan sempadan Rafah sebagai pintu masuk utama mereka ke dunia luar.

Lintasan itu berfungsi sebagai talian hayat penting bagi Semenanjung Gaza, memudahkan mereka yang cedera dan sakit keluar untuk mendapatkan rawatan perubatan selain membolehkan kemasukan bantuan kemanusiaan serta bantuan penting kepada penduduk Palestin yang terkepung.

“Republik Arab Mesir menggesa Israel untuk mengawal diri dan menjauhkan diri daripada dasar berbahaya yang mempunyai kesan jangka panjang serta mengancam usaha yang dilakukan untuk mencapai matlamat gencatan senjata yang mampan di Semenanjung Gaza,” menurut kenyataan itu.

Mesir pada masa sama menyeru semua negara berpengaruh untuk segera campur tangan dan memberikan tekanan yang diperlukan untuk meredakan krisis semasa.

Negara itu turut menekankan pentingnya untuk membenarkan usaha diplomatik diteruskan tanpa halangan, memastikan ia menghasilkan keputusan yang diinginkan untuk mengembalikan keamanan dan kestabilan di rantau berkenaan.

– BERNAMA

 


Pengarang :