EXCO Pembangunan Wanita dan Kebajikan Masyarakat Anfaal Saari beramah mesra bersama penghuni ketika melawat ke Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PPDK) di Kuala Kubu Bharu, Hulu Selangor pada 7 Mei 2024. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
BERITA UTAMAEXCOSELANGOR

Yayasan anak istimewa negeri buka peluang kerjasama korporat, awam

HULU SELANGOR, 7 MEI: Kerajaan Negeri bakal menubuhkan Yayasan Insan Istimewa Selangor bagi membuka peluang kerjasama sektor korporat dan awam untuk memajukan anak berkeperluan khas.

EXCO Kebajikan Anfaal Saari berkata yayasan berkenaan akan ditubuh bawah Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI dengan dana permulaan sebanyak RM5 juta.

“Sebagai permulaan, kita perlukan barisan pemegang amanah dalam pelbagai bidang. Dengan adanya yayasan ini, kita harap dapat buka peluang kepada korporat dan orang awam untuk menyumbang.

“Yayasan ini juga akan ditubuh dalam bentuk Syarikat Berhad Menurut Jaminan (CLBG) dan diuruskan bawah MBI,” katanya ketika ditemui pemberita.

Beliau ditemui selepas melawat Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PPDK) Kuala Kubu Bharu bersama Calon Kerajaan Perpaduan Pang Sock Tao di PPDK Kuala Kubu Bharu di sini, hari ini.

Anfaal menambah penubuhan Yayasan Insan Istimewa Selangor dijangka direalisasi menjelang akhir tahun ini dengan pelbagai perancangan untuk membantu golongan istimewa.

Jelasnya antara cadangan yang sedang dirangka adalah penubuhan pusat cerebral palsy yang menyediakan pelbagai peralatan khas bagi latihan fizikal anak-anak terbabit.

“Selain itu, kita juga mahu bina perkampungan untuk anak-anak autism. Kita sudah memulakan perbincangan sejak 2020 dan harap ia dapat dibina dalam tempoh setahun atau dua tahun ini.

“Perkampungan itu dicadangkan di Kuala Kubu Bharu. Ia lebih kepada latihan untuk autism dewasa dan mereka boleh tinggal di situ untuk jalani latihan seperti bakeri dan sebagainya,” katanya.


Pengarang :