AMPANG JAYA, 5 MEI: Flat Sri Impian di Ukay Perdana menjadi perintis dalam penyediaan perpustakaan mini di kawasan perumahan menerusi program Didik Selangor yang dilancar hari ini.
EXCO perumahan berkata usaha Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor (PPAS) itu untuk memupuk minat membaca dalam kalangan kanak-kanak secara percuma sambil beriadah.
Borhan Aman Shah memaklumkan PPAS membelanjakan RM130,000 bagi membangunkan perpustakaan mini itu yang dilengkapi kemudahan bahan bacaan, ruang membaca kondusif, pantri, komputer, penghawa dingin dan Internet.
“Setakat ini seluruh negeri mempunyai 105 perpustakaan mini termasuk dilancarkan di Flat Sri Impian hari ini yang pertama dibina di kawasan perumahan.
“PPAS dengan kerjasama Lembaga Perumahan Hartanah Selangor (LPHS) turut menyasarkan pembinaan perpustakaan mini ini di penempatan seluruh daerah secara berperingkat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Program Rewang Komuniti Strata Aidilfitri dan Pelancaran Program Didik Selangor di Flat Sri Impian, Ukay Perdana di sini hari ini.
Pada majlis sama, Ahli Dewan Negeri (ADN) Bukit Antarabangsa Mohd Kamri Kamaruddin berkata inisiatif perpustakaan itu menyumbang pembangunan sosial anak-anak kawasan perumahan itu.
“Anak-anak dapat berkumpul dan bersosial dalam suasana penuh harmoni melalui aktiviti seperti membaca bersama, membantu menyiapkan kerja sekolah dan bermain.
“Ia akan membina hubungan yang lebih rapat di kalangan generasi akan datang, menjadikan komuniti lebih bersatu tanpa mengira perbezaan agama, bangsa, atau latar belakang,” katanya.