Orang ramai mengusung jenazah warga Palestin yang terkorban akibat serangan tentera zionis pada 27 Mac, bersamaan 17 Ramadan iaitu hari ulang tahun turunnya al-Quran, semasa konflik di Rafah pada 27 Mac 2024. Foto REUTERS
AGENDAGLOBAL

Palestin minta AS campur tangan halang Israel serang Rafah

RAMALLAH (Palestin), 6 MEI: Pihak berkuasa Palestin (PA) melakukan libat urus dengan pihak tertentu secara intensif untuk menghalang rancangan Israel menyerang Bandar Rafah di selatan Semenanjung Gaza.

Tentera Israel mengeluarkan arahan kepada warga Palestin di kawasan kejiranan timur Rafah supaya segera berpindah semalam dan menggesa mereka bergerak ke pekan al-Mawasi di selatan Gaza.

Kira-kira 100,000 orang awam Palestin yang dianggarkan tinggal di kawasan itu akan berpindah, lapor Agensi Anadolu, memetik siaran Radio Tentera Israel.

“Kami meminta pentadbiran AS (Amerika Syarikat) untuk campur tangan bagi mengelakkan pembunuhan beramai-ramai yang akan mengakibatkan kesan serius,” kata PA dalam satu kenyataan.

Pihak berkuasa yang berpangkalan di Ramallah berkata ia menghubungi pihak serantau dan antarabangsa, terutama AS “untuk menghalang penaklukan Rafah.”

Rafah menempatkan lebih 1.5 juta orang Palestin yang kehilangan tempat tinggal, yang berlindung daripada serangan Israel sejak 7 Oktober lalu. Lebih daripada 34,700 warga Palestin kebanyakannya wanita dan kanak-kanak terbunuh, selain mengakibatkan kemusnahan.

Hampir tujuh bulan serangan Israel, kebanyakan dari Gaza hanya tinggal runtuhan bangunan mengakibatkan 85 peratus populasinya kehilangan tempat tinggal.

– BERNAMA-ANADOLU


Pengarang :