Orang ramai membeli barangan keperluan asas pada program Jualan Ehsan Rahmah DUN Kuala Kubu Baharu di Masjid Al-Falah, Ulu Yam Bharu, Hulu Selangor pada 8 Mei 2024. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENSISELANGOR

Panas terik tidak halang orang ramai serbu jualan murah di Ulu Yam

HULU SELANGOR, 8 MEI: Panas terik tidak menghalang ratusan penduduk sekitar Ulu Yam menyerbu Jualan Ehsan Rahmah (JER) di pekarangan Masjid Al-Falah di sini, hari ini.

Seorang ibu tunggal, Hazanah Mahmud, 40, yang pertama kali mengunjungi JER mengakui teruja melihat barangan dijual murah dan dapat membantu golongan berpendapatan rendah sepertinya berjimat.

Hazanah Mahmud, 40

“Terkejut tengok harga barang sangat murah dan berpatutan. Harap jualan begini diteruskan dengan lebih kerap terutama di kawasan luar bandar.

“Giliran menunggu tidak lama walaupun orang ramai dan cuaca panas terik. Penganjur menggunakan sistem nombor jadi kita sudah tahu giliran kita,” katanya kepada Selangorkini.

Manakala, Letchumanan, 60, yang datang bersama isteri turut berterima kasih kepada Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) kerana membenarkan pembelian tanpa had.

Letchumanan, 60

“Saya tahu jualan hari ini daripada kumpulan WhatsApp jiran tetangga, sebelum ini pernah pergi juga di Ulu Yam Lama, tetapi barangan dihadkan tidak boleh beli banyak.

“Alang-alang boleh beli lebih saya dan isteri beli terus untuk stok sebulan memandangkan kami ramai tujuh beranak,” katanya yang bekerja sebagai tukang kebun.

Selain itu, seorang peniaga Tan Che Hang, 57, turut tidak melepaskan peluang berkunjung ke jualan murah dan berharap lebih banyak barangan ditawarkan selepas ini.

Tan Che Hang, 57

“Hari ini saya belanja tidak sampai RM100 beli tiga pek beras, ayam dan sepapan telur. Bagus buat jualan murah seperti ini sangat membantu,” katanya.

Jualan yang berlangsung dari jam 10 pagi hingga 1 tengah hari menawarkan 400 ekor ayam, beras (300 pek), daging (120 pek),  ikan (100 pek), minyak masak (40 botol) dan barangan kering seperti gula dan air kordial.

Selain itu, turut dibawa sayur-sayuran, tanam-tanaman dan baja organik yang diimport khas dari ladang Selangor Fruit Vallet

JER menawarkan ayam RM10 seekor, daging pejal (RM10 setiap pek), telur gred B (RM10 sepapan), ikan kembung (RM6 setiap pek), minyak masak lima kilogram (RM25) dan beras lima kilogram (RM13).

Orang ramai membeli barangan keperluan asas pada program Jualan Ehsan Rahmah DUN Kuala Kubu Baharu di Masjid Al-Falah, Ulu Yam Bharu, Hulu Selangor pada 8 Mei 2024. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

Pengarang :