Foto Facebook Selangor FC
AGENDANASIONAL

Faisal Halim diyakini kembali pulih, mampu capai tahap prestasi optimum

SHAH ALAM, 8 MEI: Kecederaan disimbah asid dilihat tidak menjadi penamat kepada karier pemain sayap sensasi Harimau Malaya dan Selangor FC Mohamad Faisal Abdul Halim.

Keyakinan itu dilontarkan Ahli Lembaga Pengarah Selangor FC Datuk Seri Shahril Mokhtar yang memaklumkan Mohamad Faisal atau lebih dikenali sebagai Faisal Halim mempunyai peluang untuk pulih berdasarkan penilaian doktor pakar.

Namun, Shahril yang juga Timbalan Presiden Persatuan Bolasepak Selangor (FAS) menjangkakan tonggak jentera serangan Gergasi Merah berusia 26 tahun itu mungkin memerlukan tempoh masa panjang sebelum mampu mencapai kembali tahap prestasi optimum.

“Apa yang saya nampak hari ini dan apa yang telah dimaklumkan doktor, saya yakin Mickey (nama panggilan Mohamad Faisal) akan pulih tetapi harus diingat trauma yang dilalui beliau bukan mudah.

“Satu, dari aspek fizikal iaitu rawatannya ketika ini, kedua dari segi psikologinya, saya rasa sekurang-kurangnya enam bulan untuk beliau pulih bukan pada tahap kecergasan optimum tetapi sekurang-kurangnya pada tahap beliau boleh bermula untuk bermain,” katanya ketika ditemui di sebuah hospital swasta di sini, hari ini.

Ditanya adakah peminat dapat melihat semula kelibat Faisal beraksi seperti sebelum ini, Shahril berkata: “Saya tak boleh jamin, Allah saja yang boleh jamin…saya yakin insya-Allah sebab semua tahu beliau orang kecil tapi semangatnya (besar), itu kelebihannya.”

Terdahulu, Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah yang juga Pengerusi Selangor FC, meluangkan masa kira-kira 30 minit berangkat menziarahi Mohamad Faisal yang difahamkan ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU) di sini, pagi ini.

Ahad lalu, arena bola sepak tempatan dikejutkan dengan insiden Faisal Halim cedera dipercayai disimbah asid dalam kejadian di sebuah pusat beli-belah di Petaling Jaya.

Beliau disahkan mengalami kelecuran tahap empat pada beberapa bahagian anggota badan selepas menjalani pembedahan pertama pada Ahad malam, selain pergerakan dan percakapannya turut terbatas.

Pemain yang memenangi gol terbaik pada Piala Asia 2023 di Qatar, Januari lalu itu dijangka tidak dapat beraksi selama minimum lima atau enam bulan, sekali gus terlepas dua perlawanan pusingan kedua Kelayakan Piala Dunia 2026/ Piala Asia 2027 menentang Kyrgyzstan dan Taiwan bulan depan.

Insiden itu merupakan kejadian malang kedua menimpa pemain negara selepas pemain pinjaman Terengganu FC, Muhammad Akhyar Abdul Rashid, cedera pada kepala dan kaki selepas diserang dua penyamun di kawasan kediamannya di Kuala Terengganu, Khamis lalu.

Serangan terhadap pemain bola sepak negara memasuki episod baharu apabila pemain Johor Darul Ta’zim (JDT) Safiq Rahim pula diserang dua lelaki menaiki motosikal yang memecahkan cermin bahagian belakang keretanya menggunakan tukul besi di Johor Bahru malam tadi.

– BERNAMA


Pengarang :