Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menerima kunjungan hormat Pengerusi dan Ketua Pegawai Eksekutif Microsoft, Satya Nadella serta delegasi di Putrajaya pada 2 Mei 2024. Foto Facebook Anwar Ibrahim
AGENDANASIONAL

Pelaburan Microsoft rangsang keupayaan teknologi, sokong pertumbuhan AI

KUALA LUMPUR, 9 MEI: Microsoft Corp yang komited untuk melabur US$2.2 bilion (AS$1=RM4.74) di Malaysia sudah pasti merupakan rangsangan bagi menyuntik keupayaan teknologi negara dan muncul sebagai pusat inovasi yang terkemuka.

Bagi memudahkan pemindahan teknologi daripada gergasi perisian Amerika Syarikat (AS) itu, kerajaan juga mesti melabur dalam menyediakan infrastruktur yang betul untuk membina ekosistem kritikal bagi menyokong pertumbuhan kecerdasan buatan (AI), sistem awan dan keupayaan keselamatan siber.

Pensyarah Kanan Pusat Pengajian Ekonomi, Kewangan dan Perbankan Universiti Utara Malaysia (UUM) Muhammad Ridhuan Bos Abdullah berkata Malaysia harus memanfaatkan komitmen gergasi teknologi itu untuk mempercepatkan peralihan ekonomi kepada operasi kompleks yang memiliki nilai tambah lebih tinggi berbanding amalan linear tradisional.

Amalan linear tradisional adalah mengikut corak “ambil-buat-buang” tanpa mengambil kira pertimbangan kitar semula atau guna semula manakala operasi kompleks nilai tambah tinggi yang merupakan sebahagian daripada ekonomi kitaran ialah sistem yang mana produk dan bahan digunakan semula, dibaiki dan dikitar semula untuk mengurangkan sisa serta mengurangkan jejak terhadap alam sekitar dan masyarakat.

“Walaupun demikian, usaha ini memerlukan pelaburan yang tinggi daripada kerajaan dan seperti yang dijelaskan dalam Pelan Induk Perindustrian Baharu (NIMP 2030), bakat, penyediaan infrastruktur dan insentif serta mewujudkan ekosistem adalah sangat kritikal,” katanya kepada Bernama.

Beliau menekankan bahawa pertumbuhan subsektor elektrik dan elektronik (E&E) boleh dipercepatkan dalam tempoh yang singkat menggunakan teknologi kecerdasan buatan (AI), yang mana penggubal dasar harus mengenal pasti bidang-bidang tertentu dalam subsektor E&E untuk meningkatkan pengeluaran eksport dan akhirnya mengembangkan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

“Maksudnya disini, dengan sokongan pelaburan modal daripada Microsoft, kepesatan teknologi akan berkembang lebih pantas dan 300,000 orang yang digabungkan dengan teknologi AI berupaya meningkatkan produktiviti (modal insan).

“Pelaburan Microsoft akan memberi manfaat untuk bakat dan kombinasi (modal dan bakat) atau peningkatan kemahiran yang akan memberi kelebihan dari segi inovasi/pengeluaran dan memberi kesan positif kepada eksport negara,” jelas beliau lagi.

Seperti di Malaysia, Microsoft turut mengumumkan komitmennya untuk melabur US$1.7 bilion di Indonesia sambil turut menyatakan komitmennya untuk melabur di Thailand yang mana jumlahnya masih belum diumumkan.

Muhammad Ridhuan berkata Microsoft telah mengenal pasti kelebihan daya saing dan pautan sinergi bagi tiga negara Asean iaitu Malaysia, Indonesia dan Thailand.

“Saya melihat ini secara positif kerana dari segi pasaran (penduduk), perundangan dan iklim pelaburan, sinergi boleh diwujudkan dalam kalangan negara-negara ini,” jelasnya.

Minggu lepas, gergasi perisian AS itu mengumumkan pelaburan tambahan berjumlah RM10.5 bilion (US$2.2 bilion) di Malaysia dalam tempoh empat tahun akan datang, adalah pelaburan tunggal terbesar oleh syarikat itu dalam 32 tahun operasinya di Malaysia.

Pelaburan ini meliputi pembangunan sistem dan infrastruktur awan (cloud system) dan kecerdasan buatan (AI), pewujudan peluang kemahiran AI untuk tambahan 300,000 orang, penubuhan satu Pusat Kecemerlangan AI Nasional, mempertingkat kemampuan keselamatan siber negara dan menyokong pertumbuhan komuniti pembangun sistem di Malaysia.

Syarikat teknologi itu dilaporkan telah membeli tanah di Kulai, Johor, untuk membangunkan pusat data.

Pada masa ini, Johor mempunyai 13 kemudahan pusat data merentasi lebih 1.65 juta kaki persegi.. Negeri itu juga disenaraikan sebagai pasaran pusat data terbesar di Malaysia dan yang kesembilan terbesar di Asia Pasifik.

Mengulas mengenai penciptaan peluang kemahiran AI untuk 300,000 orang, Muhammad Ridhuan menegaskan bahawa sinergi di antara penggubal dasar dan bahagian pembekalan perlu selari.

Sementara itu, Penganalisis Ekonomi Putra Business School, Universiti Putra Malaysia (UPM) Prof Madya Dr Ahmed Razman Abd Latiff berkata rancangan untuk menubuhkan Pusat Kecemerlangan AI Nasional dan meningkatkan keupayaan keselamatan siber Malaysia akan menarik lebih banyak syarikat-syarikat teknologi antarabangsa untuk melabur di Malaysia memandangkan keseluruhan ekosistem sedang dibangunkan dan dipertingkatkan.

“Projek ini yang akan dijayakan melalui kerjasama Microsoft dan kerajaan Malaysia, akan menunjukkan dasar mesra pelabur yang jelas dan fokus dengan peluang untuk inovasi.

“Ia bukan sahaja menyediakan infrastruktur asas untuk pelabur (tetapi) akan memberi isyarat jelas bahawa Malaysia mahu lebih ramai pelabur teknologi masuk ke negara ini,” katanya kepada Bernama.

Beliau berkata akan ada peluang untuk inovasi dan modal insan yang mencukupi bagi menyokong keseluruhan industri dengan asas-asas ekonomi yang kukuh dan sokongan kritikal daripada kerajaan.

– BERNAMA


Pengarang :