Jemaah haji wanita kumpulan pertama melambaikan tangan sebelum berlepas ke tanah suci dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 12 tengah malam 8 Mei 2024. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

282 jemaah haji Malaysia selamat tiba di Madinah hari ini

Daripada Noor Shamsiah Mohamed @ Ismail

MADINAH, 9 MEI: Seramai 282 jemaah haji yang menaiki penerbangan pertama (KT1) dari Malaysia, selamat tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Putera Mohammad Bin Abdulaziz di sini hari ini.

Mereka yang terdiri daripada 115 jemaah lelaki dan 167 wanita itu tiba dengan pesawat Malaysia Airlines MH8050 pada 4.10 pagi waktu tempatan sebelum dibawa dengan menaiki bas ke zon penginapan mereka di Hotel Emaar Royal.

Ketibaan rombongan jemaah berkenaan disambut Ketua Konsulat Malaysia di Jeddah Roslan Sharif.

Turut hadir, pihak pengurusan Lembaga Tabung Haji (TH) terdiri daripada Timbalan Ketua Rombongan Haji Kebajikan Mohamed Heikal Mohamed Yusuff dan Pengarah Operasi Madinah Ashrof Shamsuddin, serta petugas TH untuk musim 1445H/2024.

Sementara itu, Roslan berkata menerusi pemerhatiannya, TH telah melakukan persediaan rapi untuk menerima kedatangan semua jemaah haji dengan mengadakan perbincangan sewajarnya dengan pihak berwajib termasuk Kementerian Haji dan agensi berkaitan di Arab Saudi.

“Ibu Pejabat TH di Madinah yang terletak di bangunan Hotel Roha Al-Madinah juga telah dibuka awal sejak minggu lepas sebagai persiapan menyantuni para dhuyufurrahman.

“Oleh demikian, saya percaya TH mampu memberikan perkhidmatan terbaik kepada jemaah haji Malaysia,” katanya kepada petugas media selepas menyambut ketibaan kumpulan pertama jemaah berkenaan di Hotel Emaar Royal di sini hari ini.

Bas yang membawa kesemua jemaah dari Lapangan Terbang Antarabangsa Putera Mohammad Bin Abdulaziz, tiba di hotel itu pada 6.30 pagi waktu tempatan.

Pada masa sama, Roslan menasihati semua jemaah haji Malaysia supaya sentiasa bergerak secara berkumpulan demi keselamatan mereka, selain mematuhi arahan yang dikeluarkan oleh TH dari semasa ke semasa.

“Patuhi peraturan dan undang-undang tempatan Arab Saudi dan jaga imej serta nama baik Malaysia setiap masa tidak kira di mana jua berada,” katanya.

Beliau juga menyarankan supaya jemaah haji dapat terus menjaga kesihatan diri, minum air secukupnya dan amalkan diet seimbang sepanjang berada di Tanah Suci.

Roslan turut mendoakan semua urusan TH dipermudah dan dapat memberikan perkhidmatan terbaik serta semua jemaah mendapat haji mabrur.

Selain KT1, satu lagi penerbangan dari Malaysia tiba di Madinah pada 7.50 pagi (waktu tempatan) merangkumi 281 jemaah haji yang akan menginap di Hotel Saja al Madinah.

Mereka ialah kumpulan KT awal daripada keseluruhan 31,600 jemaah haji kuota penuh Malaysia tahun ini yang akan tiba di Tanah Suci secara berperingkat melalui 100 penerbangan sewa khas menerusi syarikat penerbangan AMAL oleh Malaysia Airlines Bhd dan Saudia Airlines.

Di Madinah, jemaah haji Malaysia akan ditempatkan di Hotel Emaar Royal, Movenpick dan Hotel Saja Al-Madinah dengan jarak kesemua hotel tidak sampai 150 meter dari Masjid Nabawi.

Sepanjang tempoh enam hari lima malam berada di Madinah sebelum bertolak ke Makkah, jemaah haji akan mengikuti program serta aktiviti diatur TH iaitu ziarah dalam melibatkan aktiviti ziarah Masjid Nabawi, makam Rasulullah SAW dan ziarah raudah, selain ziarah luar ke tempat bersejarah di sekitar bandar Al-Munawwarah.

– BERNAMA


Pengarang :