Pengundi Gombak menunaikan kewajipan sebagai pengundi sempena pilihan raya umum ke-15 di pusat mengundi Sekolah Rendah Klang Gate pada 19 November 2022. Foto BERNAMA
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Penduduk teruja mahu mengundi selepas 25 tahun kerja di Amerika Syarikat

HULU SELANGOR, 9 MEI: Seorang penduduk teruja untuk keluar mengundi buat kali pertama pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Baharu selepas 25 tahun bekerja di Amerika Syarikat.

Pekerja salon Chan Sao Lai, 47, berkata pada asalnya beliau pulang ke tanah air untuk menyambut Tahun Baharu Cina pada Februari lalu dan tidak menyangka PRK diadakan berikutan pemergian Lee Kee Hiong.

Pekerja salon, Chan Sao Lai, 47,

“Saya menetap di Amerika Syarikat selama 25 tahun dan tidak berkesempatan pulang ke Malaysia kerana sibuk bekerja. Kebetulan ada PRK jadi saya ambil keputusan pulang lewat sikit ke Amerika Syarikat.

“Saya amat teruja untuk keluar undi Sabtu ini dan berharap usaha ini dapat menyumbang kepada pembangunan di Kuala Kubu Bharu,” katanya yang akan mengundi di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Khing Ming.

Berbaki dua hari sebelum hari pengundian, calon Kerajaan Perpaduan Pang Sock Tao menyeru pengundi khususnya yang menetap di luar Kuala Kubu Bharu untuk pulang menunaikan tanggungjawab.

Calon Kerajaan Perpaduan Pang Sock Tao menyampaikan ucapan pada kopitiam talk di Restoran New Sign Kampung Asam Kumbang, Kuala Kubu Bharu pada 08 Mei 2024. Foto MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN/SELANGORKINI

“Selain fokus bertemu penduduk setempat, saya buat rakam video dan muat naik di sosial media sebagai usaha galak pengundi yang bekerja di luar balik mengundi.

“Setakat ini, saya telah berjumpa dengan hampir semua penduduk tetapi masih meneruskan kempen bagi menyampaikan mesej perpaduan,” katanya.

Calon Kerajaan Perpaduan Pang Sock Tao beramah mesra bersama orang ramai pada kopitiam talk di Restoran New Sign Kampung Asam Kumbang, Kuala Kubu Bharu pada 08 Mei 2024. Foto MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN/SELANGORKINI

Kerusi DUN Kuala Kubu Baharu kosong berikutan kematian penyandangnya Lee Kee Hiong pada 21 Mac selepas bergelut melawan barah beberapa tahun lalu.

PRK Kuala Kubu Baharu adalah PRK ketujuh diadakan selepas pilihan raya umum ke-15. Seramai 40,226 pengundi berdaftar di DUN tersebut termasuk polis dan tentera.

Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan pengundian pada Sabtu ini manakala penamaan calon dan pengundian awal masing-masing pada 27 April (Sabtu) dan 7 Mei (Selasa).


Pengarang :