Anggota polis menjalankan tanggungjawab membuang undi awal pada PRK DUN Kuala Kubu Baharu di Dewan Serbaguna Maktab PDRM, Kuala Kubu Bharu pada 7 Mei 2024. Foto MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN/SELANGORKINI
ADNBERITA UTAMASELANGOR

Pengundi semangat tunai tanggungjawab pilih ADN baharu 11 Mei

HULU SELANGOR, 8 MEI: Berbaki beberapa hari sebelum pengundian pilihan raya kecil Kuala Kubu Baharu, orang ramai semakin bersemangat untuk memilih wakil rakyat baharu pada 11 Mei.

Rata-rata berharap Ahli Dewan Negeri (ADN) yang dipilih kelak mampu menunaikan tanggungjawab dengan baik selain meneruskan pembangunan di Dewan Undangan Negeri (DUN) tersebut.

Wartawan Selangorkini membuat tinjauan di sekitar kawasan berkenaan bagi mendapatkan pandangan.

“Sebagai rakyat Malaysia, menjadi tanggungjawab kita untuk mengundi dan memilih pemimpin mana yang boleh membawa suara rakyat dan membangunkan kawasan.

“Saya berharap wakil rakyat baharu dapat meneruskan pembangunan di Kuala Kubu Bharu dan pada masa sama menaikkan lagi daerah ini supaya lebih maju dan berkembang.

Ong Geak Yan, 60, suri rumah

“Undi itu hak individu kerana kita berhak memilih wakil rakyat yang akan bangunkan kawasan masing-masing. Siapa pun dipilih, saya harap dapat buat kerja dengan baik.

“Jika wakil rakyat itu buat kerja, kita pasti akan beri sokongan kepada parti tersebut. Tetapi saya akan pastikan anak dan isteri keluar mengundi pada hari ditetapkan.

Chiong Aih Chiong, 77, peniaga

“Sejak layak mengundi, saya mesti keluar jalankan tanggungjawab kerana ia sebahagian daripada usaha memilih siapa pemimpin yang boleh bawa suara dan membela nasib.

“Sebagai orang lama, saya nasihatkan golongan muda jangan lepaskan peluang untuk mengundi kerana ia akan memberi kesan kepada masa depan dan juga penbangunan sesebuah kawasan.

Fatimah Mat Rashid, 55, pekerja pembersihan

“Saya tinggal bersama ibu dan ayah dan memang wajib setiap kali mengundi, semua satu keluarga akan keluar undi.

“Peranan golongan muda dalam proses pengundian penting kerana ia akan membantu mencorak negeri ke arah yang lebih baik dan masa depan cerah untuk anak-anak.

A Kavitha, 28, buruh


Pengarang :