Anggota polis selesai mengundi awal pada PRK DUN N06 Kuala Kubu Baharu di Dewan Serbaguna Maktab PDRM, Kuala Kubu Bharu pada 7 Mei 2024. Foto MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

PRK KKB: 625 anggota polis undi awal di Maktab PDRM hari ini

HULU SELANGOR, 7 MEI: Seawal 7.30 pagi puluhan anggota polis sudah beratur bagi menunaikan tanggungjawab dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Baharu (KKB) hari ini.

Anggota polis berkenaan mengundi awal di Maktab Polis Diraja Malaysia Kuala Kubu Bharu.

Sebelum ini, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) memaklumkan seramai 625 anggota polis, 238 anggota tentera dan pasangan mengundi awal dalam PRK berkenaan.

Suami isteri Koperal Muhd Fahmi Abd Halim dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Hulu Selangor dan isteri Koperal Ifah Zanariah Osman anggota trafik IPD Hulu Selangor selesai mengundi awal di Maktab Polis Diraja Malaysia Kuala Kubu Bharu pada 7 Mei 2024. Foto SITI ROHAIZAH ZAINAL/SELANGORKINI

Proses pengundian diadakan di dua pusat mengundi awal iaitu di Rejimen Semboyan Divisyen Ke-4 Infantri dan Dewan Serbaguna Maktab Polis Diraja Malaysia, yang mengandungi tiga tempat mengundi atau saluran awal.

Kerusi DUN Kuala Kubu Baharu kosong berikutan kematian penyandangnya Lee Kee Hiong pada 21 Mac lalu selepas bergelut melawan barah beberapa tahun lalu.

PRK KKB adalah PRK ketujuh diadakan selepas pilihan raya umum ke-15. Seramai 40,226 pengundi berdaftar di DUN berkenaan termasuk anggota polis dan tentera.

Tarikh penamaan calon dan pengundian awal pilihan raya kecil di DUN berkenaan masing-masing pada 27 April (Sabtu) dan 7 Mei (Selasa).

Anggota polis menunaikan tanggungjawab mengundi awal pada PRK DUN N06 Kuala Kubu Baharu di Dewan Serbaguna Maktab PDRM, Kuala Kubu Bharu pada 7 Mei 2024. Foto MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN/SELANGORKINI

 


Pengarang :