Tangkap layar video Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah Ibni Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj bertitah memberi sokongan kempen perangi diabetes anjuran Selangor FC dengan kerjasama Sanofi Aventis Malaysia.
AGENDASUKANKINI

Raja Muda sedia tanggung kos rawatan Faisal Halim

SHAH ALAM, 8 MEI: Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Raja Muda Selangor berkenan untuk menanggung kos rawatan dan perubatan pemain Selangor FC Faisal Halim yang cedera lecur tahap empat selepas disimbah asid dalam satu kejadian, Ahad lalu.

Perkembangan itu dikongsikan Ahli Lembaga Pengarah Selangor FC Datuk Seri Shahril Mokhtar selepas selesai mengiringi Tengku Amir Shah yang juga pengerusi Selangor FC menziarah Faisal selepas selesai pembedahan kedua di sebuah hospital swasta di Shah Alam, pagi tadi.

“Kos perubatan Faisal sudah ditanggung menerusi insurans tetapi kita mahukan yang terbaik untuk dia. Apa yang dimaklumkan, rawatan yang terbaik biasanya membabitkan kos yang tinggi.

“Tetapi Tuanku (Tengku Amir Shah) beri jaminan bahawa tak usah khuatir dan jangan risau, pihak istana dan Tengku Amir Shah sendiri akan tanggung kos perubatan sekiranya perlu,” katanya seperti dilapor Berita Harian.

Shahril mengesahkan Faisal semakin menunjukkan perkembangan positif sudah mula memikirkan mengenai bola sepak meskipun sedang bertarung dengan kesakitan.

“Saya difahamkan Faisal sudah boleh makan tetapi diet yang lembut. Dia juga nampak tidak sabar untuk bangun dan melakukan senaman ringan lazim membabitkan bola sepak,” katanya.

Ahad lalu, arena bola sepak tempatan dikejutkan dengan insiden Faisal cedera dipercayai disimbah asid dalam kejadian di sebuah pusat beli-belah di Petaling Jaya.

Beliau disahkan mengalami kelecuran tahap empat pada beberapa bahagian anggota badan selepas menjalani pembedahan pertama pada Ahad malam, selain pergerakan dan percakapannya turut terbatas.

Pemain yang memenangi gol terbaik pada Piala Asia 2023 di Qatar, Januari lalu itu dijangka tidak dapat beraksi selama minimum lima atau enam bulan, sekali gus terlepas dua perlawanan pusingan kedua Kelayakan Piala Dunia 2026/ Piala Asia 2027 menentang Kyrgyzstan dan Taiwan bulan depan.

Insiden itu merupakan kejadian malang kedua menimpa pemain negara selepas pemain pinjaman Terengganu FC, Muhammad Akhyar Abdul Rashid, cedera pada kepala dan kaki selepas diserang dua penyamun di kawasan kediamannya di Kuala Terengganu, Khamis lalu.

Serangan terhadap pemain bola sepak negara memasuki episod baharu apabila pemain Johor Darul Ta’zim (JDT) Safiq Rahim pula diserang dua lelaki menaiki motosikal yang memecahkan cermin bahagian belakang keretanya menggunakan tukul besi di Johor Bahru malam tadi.


Pengarang :