Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari bersalaman dengan orang ramai sempena Majlis Muhibah Aidilfitri Kumpulan Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI di Pusat Konvensyen Setia City (SCCC), Shah Alam pada 8 Mei 2024. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENDASUKANKINI

Selangor harap MFL beri pertimbangan serius tangguh Piala Sumbangsih

SHAH ALAM, 8 MEI: Kerajaan Negeri berharap Liga Bolasepak Malaysia (MFL) memberi pertimbangan serius berhubung permohonan Selangor FC untuk menunda aksi Piala Sumbangsih, Jumaat ini.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata tragedi yang menimpa pemain sayap Faisal Halim Ahad lalu amat menggemparkan, sekali gus memberi trauma kepada seluruh pasukan.

“Kejadian ini sangat menggemparkan dan menyebabkan Faisal terpaksa menerima rawatan insentif dan siri pembedahan kritikal. Saya juga dikhabarkan sebahagian organ Faisal tidak dapat berfungsi secara normal.

“Saya percaya ini memberi trauma kepada pemain. Saya yakin permohonan (untuk tangguh Piala Sumbangsih) ada asas dan wajar dipertimbangkan sebaik mungkin,” katanya ketika ditemui pemberita.

Terdahulu beliau ditemani isteri Datin Seri Masdiana Muhamad menghadiri Majlis Muhibah Aidilfitri Kumpulan Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI di Pusat Konvensyen Setia City hari ini.

Semalam, Selangor FC menghantar permohonan rasmi kepada MFL supaya mempertimbang cadangan menunda Piala Sumbangsih melibatkan pasukan itu dan Johor Darul Ta’zim (JDT) atas faktor keselamatan.

Bagaimanapun, MFL dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan pertembungan antara Selangor FC dan JDT di Stadium Sultan Ibrahim, Johor pada Jumaat ini akan tetap berlangsung.

MFL memaklumkan jaminan keselamatan turut diberikan pihak berkuasa dengan kawalan dan pemeriksaan ketat oleh 1,500 anggota polis sepanjang perlawanan berlangsung.

Ahad lalu, arena bola sepak tempatan dikejutkan dengan insiden Faisal cedera dipercayai disimbah asid dalam kejadian di sebuah pusat beli-belah di Petaling Jaya.

Beliau disahkan mengalami kelecuran tahap empat pada beberapa bahagian anggota badan selepas menjalani pembedahan pertama pada Ahad malam, selain pergerakan dan percakapannya turut terbatas.


Pengarang :