Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Tan Sri Abdul Ghani Salleh (tengah) meninjau pusat pembuangan undi awal pada PRK DUN N.06 Kuala Kubu Baharu di Dewan Serbaguna Maktab PDRM, Kuala Kubu Bharu pada 7 Mei 2024. Foto MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

SPR sedia van, ‘buggy’ mudahkan pengundi tunai tanggungjawab Sabtu ini

HULU SELANGOR, 7 MEI: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menyediakan perkhidmatan van dan buggy di beberapa pusat pengundian sepanjang hari mengundi pada 11 Mei ini.

Pegawai Pengurus Pilihan Raya Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Baharu Yuhanas Auree Kamarudin berkata perkhidmatan itu disediakan bagi kemudahan orang awam khususnya warga emas dan orang kurang upaya.

“Untuk hari pengundian nanti kita buka 18 pusat mengundi dan ada beberapa lokasi berbukit dan tinggi, jadi perkhidmatan van transit dan buggy disediakan untuk kemudahan pengundi.

Pegawai Pengurus Pilihan Raya Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Baharu Yuhanas Auree Kamarudin ditemui di Dewan Serbaguna Maktab PDRM, Kuala Kubu Bharu pada 7 Mei 2024. Foto MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN/SELANGORKINI

“Oleh itu, saya menyeru supaya semua pengundi keluar menjalankan tanggungjawab bagi mewujudkan semangat demokrasi,” katanya ditemui di pusat pengundian awal di Dewan Serbaguna Maktab Polis Diraja Malaysia Kuala Kubu Bharu di sini, hari ini.

Dalam pada itu, beliau memaklumkan peratusan pengundian 33 peratus anggota polis dan tentera keluar mengundi setakat 10 pagi tadi.

Kerusi DUN Kuala Kubu Baharu kosong berikutan kematian penyandangnya Lee Kee Hiong pada 21 Mac selepas bergelut melawan barah beberapa tahun lalu.

PRK Kuala Kubu Baharu ialah PRK ketujuh diadakan selepas pilihan raya umum ke-15. Seramai 40,226 pengundi berdaftar di DUN tersebut termasuk polis dan tentera.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan pengundian pada 11 Mei menakala penamaan calon dan pengundian awal masing-masing pada 27 April (Sabtu) dan 7 Mei (Selasa).


Pengarang :