Keadaan Faisal Halim selepas disimbah cecair dipercayai asid oleh individu tidak dikenali di sebuah pusat membeli belah di ibu negara pada 5 Mei 2024. Foto ihsan laman X Fina Nasrom
AGENDAJENAYAH

Suspek simbah asid Faisal Halim ditahan

SHAH ALAM, 6 MEI: Polis menahan seorang lelaki yang disyaki terlibat kes simbahan asid terhadap pemain Selangor FC Faisal Halim di pusat beli belah di Damansara, semalam.

Ketua Polis Selangor Datuk Hussein Omar Khan mengesahkan penahanan suspek berusia 20-an dan pihaknya akan mendapatkan perintah reman hari ini, lapor portal Berita Harian.

“Kita telah merakam keterangan tiga individu termasuk mangsa (Faisal). Kita akan memanggil beberapa saksi bebas bagi membantu siasatan. Motif kejadian masih dalam siasatan'” katanya.

Semalam Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor bertitah supaya polis segera menyiasat insiden berunsur keganasan membabitkan pemain kebangsaan itu.

Tegas Sultan Sharafuddin Idris Shah selaku Penaung Selangor FC, jika insiden sedemikian tidak dibanteras segera, ia akan terus melarat sehingga boleh mengundang perkara lebih buruk pada masa akan datang.

Kejadian itu turut dikecam Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari yang mahu polis melakukan siasatan menyeluruh melibatkan kes Faisal serta pemain Terengganu FC Akhyar Rashid yang cedera selepas diserang dua penyamun pada Khamis.

Semalam, EXCO Sukan Mohd Najwan Halimi mengesahkan insiden di sebuah pusat beli-belah menyebabkan Faisal melecur tahap dua dengan kecederaan sekitar leher, bahu, lengan dan dada.


Pengarang :