Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming bergambar bersama penduduk selepas sidang media penyelesaian isu perumahan lima estet di Bestari Jaya, Kuala Selangor pada 6 Mei 2024. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Penantian 26 tahun berakhir, 245 keluarga peneroka bakal terima rumah

KUALA SELANGOR, 6 MEI: Sejumlah RM75 juta diperuntuk bagi membina projek perumahan rakyat (PPR) untuk 245 peneroka dari lima estet sekitar Bestari Jaya, sekali gus mengakhiri penantian 26 tahun.

Menteri perumahan berkata projek seluas 8.09 hektar merangkumi dana RM40 juta daripada Putrajaya, manakala baki diperuntuk Kerajaan Selangor selain tanah disediakan Berjaya Corporation Berhad.

Dinamakan PPR Harmoni Madani, Nga Kor Ming menjelaskan perumahan yang bakal siap hujung 2026 melibatkan penduduk estet Ladang Mary, Ladang Nigel Garder, Ladang Bukit Tagar, Ladang Sungai Tinggi dan Ladang Minyak.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming berucap ketika sidang media penyelesaian isu perumahan lima estet di Selangor. Turut hadir EXCO Pembasmian Kemiskinan Papparaidu Veraman di Bestari Jaya, Kuala Selangor pada 6 Mei 2024. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

“Isu ini bermula sejak 1998, kerajaan bertukar ganti namun tidak selesai. Ada 245 keluarga pekerja ladang terkesan, jadi perkara ini dibawa kepada perdana menteri dan Dato’ Menteri Besar.

“Untuk percepatkan projek, pemaju Pr1ma Corporation dilantik sebagai agensi pelaksana untuk memantau. Kurang dua tahun, projek akan siap dan penduduk menerima kunci,” katanya.

Ditemui dalam sidang media di sini hari ini, Kor Ming berkata pembangunan PPR itu dibuat berperingkat dengan fasa permulaan menumpukan pembinaan rumah dan dewan serbaguna serta tadika.

Beliau menjelaskan kemudahan lain akan disediakan mengikut masa, sementara jaringan pengangkutan pula lebih mudah berikutan Kerajaan Selangor memiliki skim bas percuma.

“Lokasi ini juga atas permintaan penduduk. Kita jangka kira-kira 1,250 penduduk akan menerima manfaat pembinaan PPR ini,” katanya lagi.

 


Pengarang :