Kakitangan kerajaan Nur Hidayah Mohd Hanib melakukan demonstrasi pada perasmian sistem ‘Smartbox PTGS’ di Bangunan SSAAS, Shah Alam pada 24 Julai 2020. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Tanah keluarga pelakon diganti, sistem e-Tanah elak kes berulang

SHAH ALAM, 9 MEI: Pertindihan hak milik tanah keluarga pelakon Ammar Baharin berlaku akibat kesilapan teknikal pemberimilikan secara berkelompok yang diluluskan pada 1978 dan 1995.

Menurut Pejabat Tanah dan Galian (PTG) Selangor, kelulusan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri pada tahun berkenaan mengakibatkan dua hak milik dikeluarkan ke atas satu plot tanah sama.

Dalam kenyataan itu, siasatan PTG negeri mendapati ada kesilapan teknikal semasa membuat carta secara manual ke dalam lembar lito (litho sheet) di Unit Teknikal PDT Hulu Langat.

“Ini seterusnya mengakibatkan pengeluaran dua hak milik atas satu plot tanah yang sama sebagaimana yang dibangkitkan oleh pengadu (Ammar),” kata kenyataan pada 9 Mei.

Pada April, Ammar membangkit isu berkenaan di media sosial sebelum keluhannya mendapat perhatian Dato’ Menteri Besar yang menjelaskan tanah berkenaan telah diratifikasi semula.

Dato’ Seri Amirudin Shari semalam juga menjelaskan kes sedemikian bukan pertama kali tetapi percaya masalah seumpama itu diatasi melalui penggunaan sistem e-Tanah diperkenal pada 2023.

Menurut PTG Selangor, semua PDT di Selangor kini mengguna pakai sistem pentadbiran tanah secara elektronik itu bagi mengelakkan pertindihan lot sekali gus mengelak isu sama berulang.

PTG negeri juga menasihati pemilik tanah supaya mengemas kini maklumat termasuk pertukaran alamat terkini dan membuat carian persendirian untuk menyemak urusan berkaitan hak milik.


Pengarang :