Ketua Perangkawan Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Sektor perkhidmatan naik 6.1 peratus kepada RM594.5 bilion suku pertama 2024

KUALA LUMPUR, 9 MEI: Sektor perkhidmatan Malaysia mencatatkan pertumbuhan 6.1 peratus tahun ke tahun bagi suku pertama 2024 kepada RM594.5 bilion, disumbangkan oleh prestasi menggalakkan bagi semua segmen di bawah sektor perkhidmatan, menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).

Dalam satu kenyataan hari ini, Ketua Perangkawan Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata peningkatan ketara dicatatkan oleh segmen perdagangan borong dan runcit, makanan dan minuman serta penginapan yang meningkat RM23.3 bilion kepada RM451.6 bilion.

“Peningkatan ini diikuti oleh segmen maklumat dan komunikasi dan pengangkutan dan penyimpanan (+RM5.2 bilion; 6.7 peratus), segmen profesional, hartanah dan pentadbiran dan khidmat sokongan (+RM3.3 bilion; 9.5 peratus) dan segmen kesihatan swasta, pendidikan swasta, kesenian, hiburan dan rekreasi dan perkhidmatan persendirian dan lain-lain aktiviti (+RM2.4 bilion; 12.7%),” katanya.

Bagi pendapatan e-dagang, Ketua Perangkawan itu berkata ia mencatatkan nilai RM293.2 bilion iaitu pertumbuhan 0.5 peratus tahun ke tahun pada suku pertama 2024.

Untuk perbandingan suku tahun ke suku tahun, pendapatan e-dagang meningkat secara marginal sebanyak 0.5 peratus.

Beliau berkata jumlah pekerja dalam sektor ini adalah 4.4 juta orang, meningkat 72,200 orang atau 1.7 peratus tahun ke tahun.

Antara pekerja p-panggilan yang hadir
pada majlis penyerahan Inisiatif Roda Darul Ehsan (RiDE) sempena Selangor Youth Festival 2023 di Dataran Karnival Stadium Shah Alam, Shah Alam pada 10 Jun 2023. Foto FIKRI YUSOF/ SELANGORKINI

Sementara itu, gaji dan upah yang dibayar mencatatkan peningkatan RM1.0 bilion atau 3.3 peratus tahun ke tahun.

Dalam satu kenyataan berasingan, Mohd Uzir berkata indeks volum perkhidmatan tumbuh 4.5 peratus tahun ke tahun dengan mencatatkan 150.4 mata pada suku pertama 2024, manakala bagi perbandingan suku tahun ke suku tahun pula, ia naik 1.3 peratus.

Beliau berkata prestasi indeks volum perkhidmatan bagi suku ini dipacu oleh kenaikan segmen perdagangan borong dan runcit, makanan dan minuman serta penginapan yang tumbuh 4.0 peratus.

“Ini diikuti dengan pertumbuhan dalam segmen maklumat dan komunikasi serta pengangkutan dan penyimpanan (6.0 peratus); segmen perkhidmatan perniagaan dan kewangan (3.7 peratus), dan segmen perkhidmatan lain (6.8 peratus),” katanya.

Sementara itu, segmen perkhidmatan lain merekodkan pertumbuhan positif 6.8 peratus berikutan peningkatan dalam kesihatan swasta (9.3 peratus), pendidikan swasta (7.2 peratus) serta kesenian, hiburan dan rekreasi dan perkhidmatan persendirian dan lain-lain aktiviti (3.9 peratus), kata ketua perangkawan itu.

– BERNAMA


Pengarang :