Ronnie : Kompaktor Ada Pusat Penyelenggaraan Dan Jaminan Pembekal

SHAH ALAM 13 SEPT: Semua lori kompaktor yang dibeli Kerajaan Negeri mempunyai pusat penyelenggaraannya di Malaysia walaupun lori tersebut dibeli secara terus dari China.

Exco Kerajaan Tempatan, Kajian dan Penyelidikan, Ronnie Liu berkata lori-lori yang dibeli turut mempunyai jaminan setahun percuma serta penggantian lori baru jika lori yang dibeli itu menghadapi masalah.

“Ada perjanjian yang dipersetujui antara Kerajaan Negeri dan syarikat pengeluar berhubung penyelenggaraan lori itu serta jaminan yang disediakan,” katanya ketika dihubungi TVSelangor hari ini.

Beliau juga menafikan bahawa Kerajaan Negeri membeli kompaktor yang tidak menepati spesifikasi sepatutnya dan kos pembeliannya jauh lebih rendah daripada harga yang didakwa mencecah RM14.5 juta.

Ronnie turut menyelar laporan yang dikeluarkan Utusan hari ini yang mendakwa Kerajaan Negeri membeli lori kompaktor yang sudah tidak dikeluarkan lagi dan lori yang dibeli masih tidak diterima sehingga kini.

Katanya, Kerajaan Pusat juga sengaja melengahkan proses penerimaan lori tersebut dengan memberi pelbagai alasan kepada Kerajaan Negeri.

“Kerajaan Pusat memegang kuasa meluluskan proses pembelian lori terbabit dan pelbagai alasan diberikan seperti masalah teknikal bagi melambatkan penerimaan 50 lori kompaktor itu.

“Kita bersabar dan cuba menyelesaikan masalah sampah di negeri ini secara berperingkat-peringkat walaupun Kerajaan Pusat tidak membantu kita,” jelasnya lagi.

Pada Jun lalu, Kerajaan Negeri melancarkan 50 buah lori kompaktor baru yang akan digunakan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) bagi memastikan urusan pengendalian kutipan sisa pepejal di seluruh negeri menjadi lebih efisyen.

Malah, sebanyak 50 buah lori lagi ditambah bagi mengganti lori yang usang dan diletakkan di bawah penyeliaan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) dan Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ).


Pengarang :